Khamis, 6 Julai 2017 | 7:18am

Ketidakmampuan Pakatan Harapan buat Saifuddin kecewa


ANTARA orang ramai yang hadir pada Konvensyen Pakatan Harapan di IDCC, Shah Alam, November lalu. - Foto Faiz Anuar

SEWAKTU mengalu-alukan penyertaan Datuk Saifuddin Abdullah ke dalam PKR pada 15 Oktober 2015, Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, yakin Saifuddin akan dapat memainkan peranan strategik dalam Pakatan Harapan (PH) untuk memastikan ia menumpukan kepada gagasan idea baharu bagi ditawarkan kepada rakyat.

Empat hari selepas itu, Saifuddin terus sahaja dilantik sebagai Ketua Setiausaha PH yang juga umpama arkitek penting PH yang diberikan tanggungjawab mengetuai urusan pentadbiran dan organisasi harian PH.

Mengikut laporan portal berita The Malaysian Insight pada 4 Mei lalu, permohonan PH untuk didaftarkan sebagai gabungan pembangkang rasmi dengan Pendaftar Pertubuhan (RoS) juga dijangka akan melantik Saifuddin sebagai Setiausaha Agung PH.

Bagaimanapun, 1 Julai lalu, secara tiba-tiba Saifuddin memuatnaik satu status di dalam Facebook beliau yang berbunyi 'Letih melalui proses bertindih penuh dalih sehingga menyebabkan organisasi bertatih dan khalayak jerih lalu kemenangan seakan tak mampu diraih.'

Bila Saifuddin menulis mengenai 'organisasi bertatih', sudah tentulah ia merujuk kepada kelembapan tumbesaran PH. Begitu juga bila beliau menulis mengenai 'kemenangan seakan tak mampu diraih', sudah tentulah ia merujuk kepada ketidakmampuan PH mencapai kemenangan dalam Pilihan Raya Ke-14 (PRU 14).

Persoalannya ialah kenapa tokoh sepenting Saifuddin boleh secara terbuka meluahkan kekecewaan beliau terhadap PH tatkala ramai pemimpin PH lain melaungkan keyakinan mereka terhadap PH?

Tumbesaran PH lembap

Sebenarnya, meneliti perkembangan PH sejak ia ditubuhkan, cukup mudah untuk memahami kenapa Saifuddin sudah patah hati dengan PH. Ini kerana tumbesaran PH cukup lembap sehingga menyebabkan beberapa kali Saifuddin termalu sendiri bila diperlihatkan seolah-olah telah cuba membohongi rakyat.

Sebagai contohnya, pada 9 Januari 2016, Majlis Presiden PH mengumumkan blok itu akan menumpukan usaha kepada membangunkan kerangka dasar-dasar bersamanya. Menyusulinya adalah pengumuman Saifuddin sendiri pada 18 Januari 2016 bahawa PH akan melancarkan Dasar-Dasar Bersama PH pada 16 Julai 2016.

Malangnya, pada tarikh yang dijanjikan, malah sehingga sekarang pun, Dasar-Dasar Bersama PH gagal dilancarkan.

Saifuddin, sewaktu menjawab soalan Datuk Ambiga Sreenevasan yang mempersoalkan kegagalan PH mengumumkan kabinet bayangannya pada 24 Oktober 2016, juga menjanjikan bahawa Konvensyen PH pada 12 November 2016 akan memberikan gambaran tentang kabinet bayangan PH. Malang sekali lagi, pada tarikh yang dijanjikan, malah sehingga sekarang pun, kabinet bayangan PH gagal diumumkan.

Konvensyen PH juga menyaksikan pimpinan setiap parti menyampaikan pidato masing-masing, antaranya ialah Timbalan Ketua Angkatan Wanita AMANAH Nasional (AWAN), Aiman Athirah Al-Jundi, yang menggesa PH supaya menyediakan dokumen agenda Melayu Islam dalam mendepani kebimbangan Melayu pada PRU14.

Tegas beliau, 'kalau kita gagal untuk mengeluarkan tawaran kepada Melayu Bumiputra ini, UMNO akan terus berkuasa selepas PRU14'.

Ketua Pemuda DAP, Wong Kah Woh, pula mencadangkan sudah sampai masanya PH mengurangkan ulang cerita korupsi Kerajaan BN dan menghebahkan penyelesaian masalah rakyat.

Seruan begini turut diulang oleh Presiden AMANAH, Mohamad Sabu, dalam ucapan Sidang Meja Bulat Selamatkan Malaysia pada 7 Februari lalu dengan menyebut, 'isu dah terlalu banyak, sampai orang nak muntah dah, tapi persoalan yang belum selesai ialah keyakinan rakyat, khasnya orang Melayu, tentang apa akan jadi jika berlaku perubahan kerajaan'.

Hasil Konvensyen PH tak diambil peduli

Begitupun, hasil Konvensyen PH dan Sidang Meja Bulat Selamatkan Malaysia ini ternyata langsung tidak diambil berat oleh pimpinan PH lain di mana Wan Azizah sendiri mengumumkan rancangan PH untuk mengadakan jelajah tiga bulan bagi memberi penjelasan terkini mengenai isu 1MDB bermula di Kepala Batas, Pulau Pinang, mulai 6 Julai (esok).

Begitu juga dengan segala butiran Perjanjian PH yang disediakan dengan segala susah payahnya oleh Sekretariat PH dan yang ditandatangani oleh pemimpin tertinggi PH pada 9 Januari 2016, di mana Perjanjian PH ini kelihatan tercatat indah di atas kertas sahaja tetapi kandungannya seolah-olah telah dibakulsampahkan terus oleh ahli dan pemimpin PH.

Sebagai contohnya, Fasal 2.3 Perjanjian PH memperuntukkan bahawa 'sebarang perbezaan pendapat, percanggahan, ketidakpuasan hati atau bantahan dari satu parti terhadap parti lain perlu disuarakan mengikut saluran dalaman PH untuk diselesaikan secara bersama di dalam PH' dengan pihak yang melanggar peruntukan ini boleh diadu kepada Badan Perantara.

Bagaimanapun, perbezaan pendapat, percanggahan, ketidakpuasan hati atau bantahan dari satu parti terhadap parti lain tetap juga disuarakan secara terbuka oleh ramai pemimpin PH, termasuk oleh Pengarah Pendidikan Politik DAP Johor, Mahdzir Ibrahim, yang menghentam AMANAH dan PPBM di dalam portal berita Malaysiakini pada 28 Jun dan 1 Julai lalu.

Fasal 6.6 dan Fasal 6.7 Perjanjian PH pula memperuntukkan bahawa pentadbiran kerajaan PH di peringkat Persekutuan dan di peringkat negeri-negeri akan diketuai oleh seorang Perdana Menteri dan seorang Menteri Besar/Ketua Menteri yang dipilih mengikut prinsip konsensus iaitu setiap parti di dalam PH perlulah bersetuju sebulat suara dengannya.

Bagaimanapun, pengumuman secara unilateral mengenai calon Perdana Menteri dan calon Menteri Besar/Ketua Menteri PH ini tetap juga dibuat oleh ramai pemimpin PH, termasuk oleh Penasihat PH, Lim Kit Siang, yang menamakan Datuk Husam Musa sebagai calon Menteri Besar Kelantan di dalam kunjungan beliau ke Kota Bharu pada 29 Jun lalu.

Berdasarkan kepada perkembangan PH seperti dinyatakan, memang wajarlah Saifuddin sebagai Ketua Setiausaha PH meluahkan patah hati beliau terhadap PH sehingga ke tahap meragui kemampuan PH mencapai kemenangan di dalam PRU 14 kerana PH sememangnya tidak mampu.

389 dibaca
Berita Harian X