;
Selasa, 4 Julai 2017 | 10:07pm

Eksport minyak, produk kelapa sawit dijangka cecah RM70b

BANGI: Nilai eksport minyak dan produk berasaskan kelapa sawit negara dijangka mencecah RM70 bilion tahun ini berbanding RM67 bilion yang dicatatkan tahun lalu.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Mah Siew Keong berkata, pengeluaran minyak sawit juga dijangka meningkat kepada 19.5 juta tan tahun ini daripada 17.6 juta pada 2016.

"Walaupun Eropah, India dan China kekal sebagai tiga negara pengimport teratas, Malaysia akan meningkatkan usaha mencari potensi baharu pasaran di ASEAN seperti Filipina, yang mengimport minyak kelapa sawit berjumlah RM1 bilion.

"Dengan persaingan daripada minyak soya dalam pasaran tradisi masih menjadi cabaran besar, kerajaan perlu meningkatkan usaha pemasaran untuk memastikan permintaan Untuk minyak kelapa sawit terus kukuh," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) di Bangi, hari ini.

Turut hadir Pengerusi MPOB, Datuk Seri Ahmad Hamzah dan Ketua Pengarah MPOB, Dr Ahmad Kushairi Din.

Dalam pada itu, Siew Keong berkata MPOB akan mengadakan seminar dan pameran 'Transfer of Technology' di ibu pejabatnya di Bangi, bagi memberi peluang kepada penyelidik MPOB membentangkan cadangan perkhidmatan teknologi membabitkan minyak kelapa sawit yang boleh dikomersialkan.

"Orang ramai yang hadir dapat berinteraksi dengan penyelidik terbabit untuk mengetahui lebih lanjut mengenai usaha MPOB mengkomersialkan minyak kelapa sawit.

"Pada seminar dan pameran itu juga, kerajaan menawarkan geran. Kita galakkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) terutama dari sektor makanan untuk memohon geran berkenaan," katanya.

324 dibaca
Berita Harian X