Ahad, 2 Julai 2017 | 6:26pm

Industri hiliran nanas terus diperkasa


PENGERUSI Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM), Datuk Samsolbari Jamali. - Foto Zulkarnain Ahmad Tajuddin

JOHOR BAHRU: Industri hiliran nanas akan diperkasakan menerusi pelaksanaan lebih banyak projek hiliran bermula tahun ini, sejajar usaha meningkatkan pendapatan peserta industri selain menambah pendapatan negara.

Pengerusi Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM), Datuk Samsolbari Jamali, berkata nanas adalah tanaman pelbagai guna yang boleh dijadikan sebagai benang serat, kertas, cenderamata serta kain tenun yang mempunyai potensi besar untuk pasaran tempatan dan eksport. 

Katanya, antara langkah dilaksanakan bagi meningkatkan penyertaan usahawan dalam bidang hiliran itu ialah dengan meningkatkan keluasan tanaman nanas selain pengenalan teknik bagi meningkatkan kapasiti pengeluaran. 

Beliau berkata, LPNM juga kini sedang meningkatkan pemahaman serta penerimaan peserta industri untuk bertukar kepada tanaman varieti nanas yang lebih menguntungkan seperti nanas premium MD2, berbanding varieti sedia ada. 

"Kami mahu meningkatkan aktiviti hiliran nanas daripada sektor pertanian ini dalam kalangan penanam nanas, pengusaha itu sendiri atau usahawan baharu yang berminat membangunkan pelbagai produk keluaran nanas. 

"Sebab apa yang kita eksport selama ini bukannya buah segar semata-mata, ada nanas kaleng, jus dan ornamental. Melihat kepada permintaan ini, produk hiliran penting dan kita perlu berbangga dengan pengeluaran pelbagai produk seperti cenderamata daripada nanas. 

"Di Malaysia, kita mempunyai keluasan tanaman nanas yang besar yang boleh dilaksanakan projek pengeluaran produk hiliran. Kami akan ketengahkan projek hiliran kerana kami mahu menambah pendapatan penanam di akar umbi," katanya ketika ditemui di sini, baru-baru ini.

Samsolbari berkata, pelaksanaan projek hiliran itu sejajar dengan Pelan Strategik LPNM untuk tempoh lima tahun sehingga 2020 antara lain untuk meningkat pengeluaran nanas secara komersial terutama untuk tujuan eksport.  

Katanya, keluaran produk hiliran juga perlu dipelbagaikan selain dicambah dengan idea reka cipta yang menarik bagi membolehkan produk daripada nanas itu dieksport ke luar negara.

"LPNM ada menyediakan insentif bagi tujuan ini, namun apabila ia diusahakan pada skala besar kita akan bekerjasama dengan agensi lain seperti Majlis Amanah Rakyat (MARA), SME Bank Bhd dan Perbadanan Usahawan Johor (EDC) seperti pembiayaan mesin dan peralatan.   

"Kami mahu mewujudkan lebih ramai pengusaha hiliran nanas, dan ada juga cadangan supaya Johor menjadikan kuih tat nenas sebagai ikon negeri Johor, terutama dalam pemberian cenderamata," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, seramai 169 usahawan pemprosesan produk berasaskan nanas dibangunkan setakat ini.

LPNM memperuntukkan dana RM791,200 tahun ini dalam pembangunan usahawan asas tani dan jumlah bantuan ini tidak termasuk program khas bantuan usahawan yang juga akan diberikan pada tahun ini, katanya.

121 dibaca
Berita Harian X