Sabtu, 1 Julai 2017 | 2:13pm

Sejuta pelajar manfaat seminar


ANTARA pelajar yang menyertai Klinik UPSR dan Seminar SPM anjuran Yayasan FELCRA di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Kampus Kuantan, Mei lalu. - Foto Zulkepli Osman

TAHUN ini genap 20 tahun BH menabur bakti dalam bidang pendidikan dengan menganjurkan Seminar Bimbingan Peperiksaan yang menjadi antara program sinonim dengan akhbar itu.

Sejak diperkenalkan pada 1996 sebagai program rintis, Seminar Bimbingan Peperiksaan BH merangkumi Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sudah memanfaatkan lebih sejuta pelajar di seluruh negara.

Program diilhamkan oleh Pengarang Pendidikan BH ketika itu, Ibrahim Saad, adalah sebahagian daripada program tanggungjawab sosial korporat (CSR) BH bagi membantu pelajar khususnya di luar bandar memperoleh bimbingan teknik terkini dalam pembelajaran.

Kerjasama itu kemudian dikembangkan oleh Pengarang Pendidikan BH yang lain, iaitu Zainor Said, Mohamad Muda dan Mohd Yusuf Abu Bakar.

Antara agensi yang pernah bekerjasama dengan BH bagi menganjurkan program itu ialah Management & Science University (MSU), Yayasan Bank Rakyat (YBR), Tabung Haji, Yayasan FELCRA, UEM Sunrise Berhad, Sime Darby Berhad, Universiti Kuala Lumpur, Bank Pembangunan Berhad dan Malaysian Building Society Berhad.

Pada tahun lalu sahaja, BH menganjurkan 241 seminar membabitkan kira-kira 58,000 peserta dengan kerjasama pelbagai agensi yang menaja sebahagian program bagi anak kakitangan, pelanggan ataupun sekolah angkat masing-masing.

Pada 2012, ketiga-tiga seminar itu dijenamakan semula dan dikenali Klinik UPSR BH Didik, Seminar PT3 BH Minda dan Seminar SPM BH Skor bersesuaian dengan matlamat penganjurannya iaitu bagi menyokong sisipan pendidikan BH, Didik untuk calon UPSR yang disiarkan setiap Isnin, Minda untuk calon PT3 (Selasa) dan Skor bagi calon SPM setiap Rabu.

Bagi menjayakan program yang lazimnya dijalankan pada hujung minggu itu, kakitangan Unit Pendidikan BH turut berkorban masa dan tenaga bagi memastikan program di kawasan pedalaman seperti Kapit, Bario, Bekalalan, Mukah dan juga Ulu Tembeling dengan menaiki bot selama tiga jam sebelum berjalan kaki menuju ke lokasi program.


PENGARANG Kumpulan BH, Datuk Mahfar Ali (dua dari kiri) bertukar dokumen MoU bersama Presiden MSU, Prof Tan Sri Dr Mohd Shukri Ab Yajid pada Majlis menandatangani MoU di antara MSU dengan BH di MSU Shah Alam. Yang turut hadir, Naib Presiden Perhubungan MSU, Korporat dan Antarabangsa, Datuk Rosli Yusof (kanan) dan Timbalan Pengarang Kumpulan BH, Datuk Badrulhisham Othman (kiri) pada 16 Mei 2017 lalu. - Foto Syarafiq Abd Samad

Sisipan pendidikan

BH mula memperkenalkan konsep Akhbar Dalam Darjah (ADD) pada Disember 1983 menerusi halaman khusus untuk Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR) sebelum dikembangkan kepada pelbagai latihan untuk pelajar sekolah menengah.

Pada 1993, BH melebarkan sayap dengan memperkenalkan akhbar khusus untuk penggunaan di sekolah, iaitu Minda Pelajar untuk calon Pelajar Menengah Rendah (PMR) yang mula diperkenalkan pada tahun sama bagi menggantikan Sijil Rendah Pelajaran.

Tahun berikutnya, BH memperkenalkan satu lagi akhbar iaitu Didik untuk calon UPSR dan kedua-dua akhbar itu dijual pada harga 70 sen senaskhah

Bagaimanapun, pada 1996, pihak pengurusan mengambil keputusan untuk menerbitkan akhbar berkenaan bersama BH bagi memastikan pelajar bukan sahaja dapat memanfaatkan latihan mingguan yang disediakan dalam sisipan terbabit, tetapi juga membudayakan amalan membaca menerusi pelbagai berita atau rencana yang disiarkan.

Bantu guru

BH turut menganjurkan Bengkel ADD sejak 1990-an bagi membimbing guru mengenai cara berkesan menggunakan akhbar sebagai bahan bantu mengajar (BBM) di dalam kelas. Antaranya, bagaimana menggunakan kaedah gunting dan tampal, selain memanfaatkan pelbagai berita, rencana dan halaman iklan untuk mempelajari tatabahasa, karangan dan ringkasan.

Bengkel yang cukup popular dalam kalangan warga pendidik itu diadakan setiap tahun dengan kerjasama Kementerian Pendidikan, Jabatan Pendidikan Negeri dan Pejabat Pendidikan Daerah. Tahun lalu, BH menganjurkan majlis Sepetang Bersama Guru-Guru sebagai penghargaan kepada warga pendidik yang setia melanggan BH.

Selain itu, BH turut menganjurkan beberapa program pendidikan lain Anugerah Pelajar Cemerlang BH (APCBH), Jelajah Rakan Sekolah BH dan Jelajah Varsiti bagi menyokong sisipan Varsiti yang dilancarkan pada Januari 2010.

Bagi memperkukuhkan agenda memperkasakan pendidikan, BH turut menerbitkan buku rujukan dan buku latihan bagi pelajar sekolah rendah dan menengah.

Selaras dengan perkembangan era digital, pembayaran yuran penyertaan seminar dan juga pembelian buku dipermudahkan apabila boleh dibuat menerusi laman sesawang www.bhpendidikan.com.my.

Laman yang diperkenalkan pada 2012 itu turut memaparkan pelbagai maklumat dan berita mengenai kegiatan atau program pendidikan BH.

454 dibaca
Berita Harian X