Jumaat, 30 Jun 2017 | 6:01pm

Jumlah kenderaan diramal bertambah mulai esok


TRAFIK sesak menghala ke Kuala Lumpur di Plaza Tol Bentong, petang tadi. - Foto ihsan pembaca

KUALA LUMPUR: Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman menjangkakan jumlah kenderaan bertambah esok berikutan berakhirnya cuti sekolah sempena Aidilfitri.

Antara laluan dijangka mengalami kesesakan bermula tengah malam ini sehingga tengah malam esok membabitkan perjalanan dari arah pantai timur dan utara Semenanjung.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Sharul Othman Mansor, berkata pihaknya menempatkan keanggotaan mencukupi bagi memastikan kelancaran lalu lintas di kawasan terbabit.

"Kita jangkakan laluan dari arah pantai timur khasnya membabitkan Lebuhraya Pantai Timur (LPT), dari Gambang dan Lebuhraya Karak dari arah Plaza Tol Bentong ke Plaza Tol Gombak akan sibuk.

"Selain itu, kesesakan mungkin berlaku di jalan Persekutuan dan jalan bandaran terutamanya di pekan Raub dan Bentong," katanya ketika dihubungi BH sebentar tadi.

Katanya, faktor lain yang menyebabkan kesesakan adalah laluan menaiki bukit dan persimpangan lampu isyarat.

"Laluan dari utara khususnya dari arah Pulau Pinang turut dijangka mengalami kesesakan berikutan peningkatan jumlah kenderaan dari pelbagai kawasan khususnya di Taiping, Kuala Kangsar dan Ipoh.

"Setakat ini keadaan lalu lintas untuk laluan dari arah selatan diramal bergerak lancar namun kita tetap menempatkan pegawai dan anggota JSPT di kawasan tertentu," katanya.

Sharul berkata, pihaknya turut mengambil kira pertambahan kenderaan yang bergerak bagi menziarahi saudara-mara dan sahabat handai untuk berhari raya.

Beliau turut mengingatkan pengguna jalan raya mematuhi peraturan demi keselamatan dan mengelak daripada dikenakan tindakan dalam Operasi Selamat 11 sehingga 2 Julai ini.

Sehingga tengah malam tadi, sebanyak 201,314 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.

 

205 dibaca
Berita Harian X