Rabu, 21 Jun 2017 | 6:55pm

Malaysia sertai Pameran Udara Antarabangsa Paris


KETUA Pejabat Penyelaras Industri Aeroangkasa Kebangsaan (NAICO), Shamsul Kamar Abu Samah. - Foto Eizairi Shamsudin

KUALA LUMPUR: Lebih 50 delegasi Malaysia mengambil bahagian dalam Pameran Udara Antarabangsa Paris yang berlangsung selama tujuh hari bermula 19 Jun lalu.

Ketua Pejabat Penyelaras Industri Aeroangkasa Kebangsaan (NAICO), Shamsul Kamar Abu Samah, berkata kehadiran Malaysia dalam acara aeroangkasa antarabangsa itu adalah menggalakkan dan sudah mula menunjukkan momentum beberapa tahun kebelakangan ini.

"Peningkatan permintaan terhadap industri aeroangkasa Malaysia bagi menampung pasaran global yang semakin meningkat mendorong kami untuk mempercepatkan keupayaan untuk terus berdaya saing," katanya dalam kenyataan hari ini.

Shamsul Kamar berkata, kerajaan memainkan peranan penting dalam penyertaan Malaysia di dalam acara berkenaan yang mana membabitkan kerjasama sesama agensi antara NAICO dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE).

Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), SME Corporation Malaysia dan penggiat utama aeroangkasa tempatan seperti Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), UMW M&E Sdn Bhd, Aerospace Malaysia Innovation Centre (AMIC) and CTRM Sdn Bhd.

"Acara ini adalah tempat untuk penggiat-penggiat utama

dalam industri mempamerkan teknologi pesawat dan aeroangkasa mereka.

"Ia juga adalah tempat untuk Malaysia memastikan kehadirannya dirasai dalam sektor 'niche' ini serta mempamerkan dan mempromosikan keupayaan kita dan infrastruktur kelas dunia dan sistem eko kepada dunia," katanya.

Industri aeroangkasa adalah industri yang pesat membangun dan dikenal pasti oleh kerajaan sebagai salah satu sub sektor penggalak di bawah rancangan Malaysia ke-11.

Malaysia merancang untuk menjadi negara peneraju dalam industri aeroangkasa di Asia Tenggara menjelang tahun 2030 dengan industri itu menyasarkan mahu menjana pendapatan tahunan sebanyak RM55.2 bilion dan mewujudkan lebih 32,000 peluang pekerjaan berpendapatan tinggi.

71 dibaca
Berita Harian X