Isnin, 26 Jun 2017 - 4:37AM
Waktu Solat Kuala Lumpur:

Sentuhan Misbun lahirkan pemain terbaik negara


DATUK Misbun Sidek. - Foto Osman Adnan

BERITA kepulangan Datuk Misbun Sidek ke pangkuan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dengan beliau dilantik sebagai ketua jurulatih perseorangan lelaki mendapat reaksi positif peminat badminton negara. Malah, saya sendiri gembira kerana akhirnya Misbun bersetuju untuk kembali membantu meningkatkan prestasi pemain perseorangan lelaki yang disifatkan oleh semua pihak dalam keadaan kritikal.

Saya sebenarnya terbabit secara langsung untuk memujuk Misbun kembali berkhidmat bersama BAM. Saya sedar beliau seorang yang berpendirian tegas dan sukar untuk cair dengan hanya kata-kata. Selepas beberapa kali bertemu barulah Misbun bersetuju untuk kembali menjadi jurulatih. Saya berterima kasih kepada Mis-bun kerana mendengar keluhan saya yang sememangnya mahukan beliau sebagai jurulatih.

Saya ingin jelaskan agar tiada mana-mana pihak salah anggap, apa yang saya lakukan ini adalah demi kebaikan sukan badminton negara. Bukan hanya untuk saya seorang, tetapi pemain lain juga, terutama yang masih muda. Mereka perlu gunakan peluang ini untuk menimba ilmu daripada Misbun kerana beliau bukan calang-calang jurulatih.

Berkat tunjuk ajar

Apa yang saya ada hari ini adalah berkat tunjuk ajar daripada Misbun. Tanpa Misbun, mungkin saya tidak berada pada tahap seperti ini. Jadi, selepas berbincang dengan Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria, kami berasakan ini adalah masa yang tepat untuk kembali mendapatkan khidmat Misbun. Ini adalah satu usaha bagi meningkatkan kualiti pemain kita.

Kita mempunyai ramai pemain tetapi hakikatnya belum ada yang benar-benar konsisten untuk melakar kejayaan di pentas antarabangsa. Mungkin, dengan kehadiran Misbun, situasi ini boleh berubah. Aura yang ada dalam dirinya sebagai jurulatih cukup untuk membuatkan setiap pemain berasa gerun, saya juga tidak terkecuali. Pada awal penulisan saya bersama akhbar BH ini, saya ada menceritakan mengenai perjalanan kerjaya saya di bawah bimbingan Misbun.

Apa yang saya boleh katakan, ia bukan sesuatu yang mudah. Mis-bun sendiri sering menegaskan kepada saya betapa tiada jalan mudah untuk berjaya. Kamu perlu bekerja keras untuk mencapai cita-cita yang kamu impikan. Jadi, saya ingin mengingatkan pemain lain agar bersiap sedia dengan corak latihan yang diterapkan Misbun apabila beliau memulakan tugasnya pada 3 Julai nanti.

Bersedia mental, fizikal

Mereka perlu bersedia mental dan fizikal bagi membiasakan diri dengan corak latihan Misbun. Hanya saya yang tinggal dalam skuad kebangsaan ketika ini yang pernah mendapat sentuhan daripada Misbun. Seperti yang saya katakan, ia tidak mudah tetapi Misbun akan melakukan yang terbaik bagi menjadikan kamu yang terbaik.

Semua orang nampak masa senang saya tetapi mereka tidak tahu masa susah sebelum saya menjadi senang. Jadi, mereka kena bersedia, nanti apabila Misbun memulakan tugas, mereka akan tahu. Saya sudah anggap Misbun seperti bapa saya sendiri, malah isterinya juga sudah seperti ibu saya. Saya berjanji kepada Misbun saya akan membantu beliau dalam usaha melahirkan pemain bagi menggantikan saya suatu hari nanti.

Dalam hal ini, kerjasama antara semua pihak penting. Malah, dua jurulatih perseorangan lelaki, Hendrawan dan Sairul Amar Ayob juga bersedia memberi komitmen penuh bagi meningkatkan prestasi pemain.

Misbun jurulatih yang berprinsip. Disebabkan prinsip itu jugalah beliau meninggalkan BAM apabila membuat kejutan dengan meletak jawatan enam tahun lalu. Saya tahu apa puncanya tetapi selepas enam tahun berlalu saya percaya Misbun sudah melupakannya.

Misbun memaklumkan kepada saya, beliau sebenarnya berhasrat untuk membantu dan menyumbangkan peranannya bagi membantu acara perseorangan lelaki. Jadi, beliau berasakan inilah masa yang sesuai untuk beliau kembali ke BAM dan berkongsi pengalamannya.

Malaysia sebenarnya memiliki ramai pemain berbakat cuma mungkin tidak mendapat tunjuk ajar yang betul bagi menyerlah bakat mereka itu. Dalam hal ini, saya percaya Misbun adalah individu yang layak. Lihat saja apa yang dilakukan beliau terhadap saya.

Namun, syaratnya pemain itu perlu akur dengan semua arahan Misbun. Lakukanlah saja tanpa merungut. Percayalah, jika kita bekerja keras dan sanggup berkorban, kejayaan pasti akan menyebelahi kita.

Misbun gemar menganggap dirinya sebagai bapa kepada setiap pemain yang dibimbingnya. Jadi, masa inilah pemain ambil kesempatan untuk belajar ilmu daripada beliau. Percayalah, Misbun tidak pernah lokek dengan ilmu dan beliau sentiasa mahu berkongsi dengan apa yang dimilikinya.

Saya sendiri teruja untuk kembali bekerjasama dengan Misbun apatah lagi hanya tinggal dua bulan sebelum Kejohanan Dunia di Glasgow, Scotland bermula. Saya harap kehadiran semula Misbun dapat membantu meningkatkan moral saya.

Datuk Lee Chong Wei:Pemain badminton nombor tiga dunia


Trending

    Disyorkan