;
Khamis, 15 Jun 2017 | 4:25pm

Pameran Fotografi Islamik acara tahunan MATIC


PENGUNJUNG, Subaidatul Hasanah Yusof melihat Pameran "Al-Jamal: Fotografi Islamik Malaysia "The Beauty of Islam" di Galeri Seni MATIC. - Foto Asyraf Hamzah

KUALA LUMPUR: Pameran Fotografi Islamik yang memaparkan keindahan budaya masyarakat Islam di negara ini akan dijadikan acara tahunan ketika Ramadan dalam kalendar Pusat Pelancongan Malaysia (MATIC).

Dengan itu, Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz, berkata beliau berharap juru foto tempatan mengambil bahagian dalam acara berkenaan.

Katanya, MATIC akan menyediakan kemudahan untuk pameran berkenaan supaya setiap kali Ramadan, pusat ini terus dikunjungi ramai.

"Pameran seumpama ini bukan hanya mengetengahkan satu lagi produk pelancongan kepada pelancong ia juga merancakkan lagi sektor kebudayaan negara," katanya berucap merasmikan Pameran "Al-Jamal: Fotografi Islamik Malaysia "The Beauty of Islam" di Galeri Seni MATIC, di sini, hari ini.

Pameran bermula 5 Jun hingga 30 Jun ini menampilkan 80 karya hasil kreativiti 20 juru foto yang menampilkan pelbagai kebudayaan dan keindahan cara hidup masyarakat Islam di negara ini.

Dengan tema Al-Jamal yang membawa maksud keindahan dan kecantikan, juru gambar menampilkan karya yang mengetengahkan nilai-nilai tawasauth (kesederhanaan/wasatiyyah), tawazun (keseimbangan), tasamuh (tolenransi ) dan tawaduk (merendah diri)

Pameran itu adalah salah satu inisiatif Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) dengan kerjasama MATIC, Street 2 Street Malaysia; Institut Profesional Baitulmal (lPB); Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP); Majlis Agama Islam dan lstiadat Melayu Perlis; Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Universiti Selangor (UNISEL).

85 dibaca
Berita Harian X