Khamis, 15 Jun 2017 | 6:00am

Autofagi proses baiki tubuh ketika berpuasa


GAMBAR fail, orang ramai berkumpul sebelum berbuka puasa pada Program Iftar@KL di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur pada 4 Jun lalu. - Foto NSTP/Aizuddin Saad

PADA masa lampau, amalan berpuasa sangat berkait rapat dengan kepercayaan spiritual manusia dalam beribadah kepada Tuhan. Ia telah diamalkan ribuan tahun lalu bagi memenuhi pelbagai tujuan hidup dan masih diamalkan sehingga hari ini. Secara umumnya, orang yang berpuasa lebih cenderung mematuhi tatacara pemakanan tertentu di mana ia melatih mereka menjadi lebih berdisiplin dalam memperoleh kawalan diri yang lebih baik.

Bagi umat Islam, amalan berpuasa adalah satu ibadah yang menahan diri dari makan dan minum serta meninggalkan perkara yang terlarang ketika berpuasa bermula daripada terbit fajar sehingga terbenamnya matahari. Puasa rukun Islam keempat yang wajib ditunaikan oleh setiap Muslim yang sihat tubuh badan sepanjang Ramadan. Selain Ramadan, amalan berpuasa sunat juga digalakkan terutama pada hari-hari tertentu sempena dengan peristiwa Islam yang bermakna berdasarkan kalendar Hijrah.

Ia juga boleh dilakukan pada setiap hari Isnin dan Khamis seperti yang diamalkan Nabi Muhammad SAW. Ibadah puasa yang dilakukan bersungguh-sungguh mampu mengawal kecenderungan nafsu apabila pengamalnya menyerahkan diri sepenuhnya kepada Tuhan. Perlu diingatkan, tujuan utama berpuasa adalah untuk menunaikan kewajipan serta meningkatkan ketakwaan kepada Allah, seperti yang dijelaskan Al-Quran:

"Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa." (Q 2: 183). Puasa juga bertujuan untuk menjadi perisai bagi setiap Muslim seperti yang disebut oleh Nabi Muhammad: "Wahai para pemuda! Barang siapa di antara kamu yang mampu untuk berkahwin, hendaklah mereka berkahwin. Sesungguhnya perkahwinan itu melembutkan pandangan dan menjaga kehormatan. Dan barangsiapa yang tidak mampu, maka berpuasalah kerana puasa itu boleh melembutkan syahwat." (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim).

Selain kebaikan rohani, puasa juga dapat memberikan manfaat jasmani iaitu kesihatan tubuh badan. Menurut jurnal penyelidikan terkemuka Science, dalam jangka pendek puasa boleh mengekalkan kesihatan di mana jangkitan penyakit dapat dikurangkan dengan mengawal pengambilan makanan. Puasa juga terbukti mampu meningkatkan kandungan hormon pertumbuhan dalam darah sehingga lima kali ganda untuk pembentukan tisu otot dan mampu mendorong penurunan ketara paras insulin dalam darah yang sekali gus membantu pembakaran lemak.

Bahagian Pemakanan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) turut menyediakan panduan penjagaan kesihatan kepada orang yang berpuasa ketika Ramadan. Antara tips pemakanan yang dianjurkan ketika bersahur adalah seperti: makan makanan segar yang baru dimasak, pengambilan sajian bijirin yang tinggi serat untuk membekalkan tenaga bagi tempoh yang lebih panjang, meminum air kosong secukupnya, serta mengelakkan makanan yang digoreng semula bagi mengelak penambahan kalori dari penggunaan minyak berulang.

Tips pemakanan

Manakala, tips pemakanan ketika berbuka puasa adalah seperti, mulakan pengambilan makanan manis seperti kurma bagi mengembalikan paras gula normal dalam darah; mengambil makanan ringan terlebih dahulu untuk mengelakkan peningkatan aktiviti gastrik secara mendadak dan ambil sajian makan malam selepas maghrib, manakala kudapan atau snek sihat boleh diambil selepas solat.

Secara saintifik, puasa juga membolehkan badan membersihkan pelbagai sisa toksin dan mengitar semula komponen sel yang rosak. Proses ini dikenali sebagai 'autofagi' atau 'memakan diri sendiri' di mana sel akan menghancurkan komponennya yang tidak berfungsi melalui proses kitar semula.

Menariknya, proses ini hanya boleh dimulakan dari 'kebuluran' sel itu sendiri, dan puasa adalah salah satu faktor utama yang membantu memulakan proses autofagi. Sel tersebut dikatakan 'membaiki' dirinya sendiri dengan menggunakan semula komponen yang tidak berfungsi sebagai makanan dalam mengekalkan sel baharu yang sihat. Mekanisma biologi ini juga dianggap sebagai proses detoksifikasi semula jadi dan ia menjelaskan bagaimana sel ma ti di dalam badan dilupuskan.

Istilah autofagi telah dicipta dan digunakan oleh ahli biokimia dari Belgium, Christian de Duve pada 1963. Beliau dan dua lagi penyelidik (Albert Claude dan George E Palade) memenangi Hadiah Nobel dalam bidang Perubatan pada 1974 bagi penemuan mereka berkenaan struktur dan fungsi organisasi sel. Pada awal 1960-an, proses autofagi ini dikesan menjadi aktif apabila sel berada dibawah tekanan terutam sewaktu kekurangan bekalan nutrisi dan ketika organisma berkenaan cuba melawan jangkitan tertentu.

Bagaimanapun, saintis masih tidak jelas bagaimana proses ini bekerja dan tidak mengetahui sel apakah yang terbabit ketika proses berkenaan. Baru-baru ini, rahsia di sebalik mekanisma autofagi telah dirungkai seorang ahli biologi sel dari Jepun, Yoshinori Ohsumi. Kejayaan ini melayakkan beliau dinobatkan sebagai penerima tunggal bagi Hadiah Nobel dalam bidang Perubatan pada Oktober tahun lalu. Ohsumi dan pasukan penyelidiknya mengenal pasti 15 gen penting yang terbabit dalam proses berkenaan, selain bagaimana gen bekerjasama memastikan pusat kitar semula sel berjalan.

Seorang Muslim akan mendapat kedua-dua manfaat kesihatan rohani dan fizikal jika ia mengamalkan puasa dengan niat dan tujuan yang betul. Manfaat kesihatan adalah ganjaran diberikan kepada manusia hanya dengan kehendak Allah SWT. Oleh yang demikian, kita perlu menyemai keikhlasan, amanah serta tawakal kepada Allah dalam setiap ibadah.

Penulis adalah Felo Penyelidik, Institut Kajian Tinggi Islam Antarabangsa (IAIS) Malaysia

Berita Harian X