Khamis, 15 Jun 2017 | 6:00am

Cinta Ilahi hati tenang, bahagia


- Gambar hiasan

Islam itu agama yang indah kerana diciptakan oleh kuasa yang tiada tolok bandingnya. Apabila Allah SWT menciptakan setiap manusia, Allah lebih tahu, lebih faham dan lebih berkuasa menentukan apa yang terbaik bagi setiap ciptaan-Nya.

Menerusi rancangan Islam itu Indah, Ustaz Muhidin Mokter berkata, sesungguhnya tidak terhitung nikmat yang Allah kurniakan kepada setiap hamba-Nya. Bahkan, jika Allah mahukan kebaikan kepada hamba-Nya Allah akan berikan kebaikan kepadanya.

Ramadan yang penuh kemuliaan ini hendaklah digunakan bagi setiap umat Islam untuk meraih cinta Allah SWT.

Melalui setiap amal ibadah yang dipersembahkan hendaklah dilakukan hanya untuk Allah SWT. Ramadan ini hendaklah dijadikan momentum untuk meraih keampunan-Nya seterusnya apabila keluar sahaja dari bulan mulia ini, seseorang Mukmin itu seperti bayi yang baru dilahirkan iaitu suci dari dosa dan noda.

Sesungguhnya Nabi Muhammad SAW diutuskan oleh Allah untuk menunjuk jalan dan mengajar kepada manusia jalan dan perbuatan untuk dekat dengan Allah. Ada pelbagai amalan untuk manusia lakukan bagi menghampirkan diri mereka dengan Allah SWT.

Seperti diajar Rasulullah SAW, keikhlasan dalam melaksanakan ibadah akan membuahkan rasa manis dalam melakukan amal kepada Allah.

Rasa ikhlas tidak akan wujud dalam diri tanpa rasa iman dan perasaan kehambaan untuk beribadah hanya kepada Allah SWT semata-mata.

Islam penyuluh hidup

Justeru, Islam yang hadir sebagai penyuluh jalan hidup bukan hanya mengurus hal-hal berkaitan duniawi semata-mata, tetapi perkara yang dilaksanakan dijadikan sebagai jambatan menuju kampung akhirat yang kekal abadi.

Bagaimana untuk hampir dengan Allah SWT? Seperti yang diajar oleh Rasulullah dengan cara merasai atau membayangkan bahawa Allah SWT begitu hampir dengan kita.

Dengan cara ini akan membina satu perasaan kerohanian yang tinggi bahawa setiap amal perbuatan kita berada di bawah pandangan Allah.

Jika berasa diri kita hampir dengan Allah, apa juga yang kita lakukan sama ada ibadah harian atau melaksanakan urusan harian dalam kehidupan akan melahirkan rasa ketekunan dan keikhlasan kerana setiap amalan itu tidak lain dipersembahkan hanya untuk Allah SWT semata-mata.

Jika mahu menilai sama ada kita hampir atau sebaliknya dengan Allah SWT, ia dapat dilihat melalui sikap kita ketika berdepan sebarang ujian atau musibah.

Iman seseorang itu tidak akan dapat dinilai melainkan pada saat dia menerima ujian. Orang yang ikhlas dan dekat dengan Allah akan menerima apa juga ujian itu dengan hati yang tenang dan lapang.

Setiap kesulitan dilalui dengan penuh rasa reda dan sabar, kerana dia percaya setiap yang berlaku itu adalah kehendak Allah yang pasti akan ada kebaikan di hujungnya.

Kecintaan kepada Allah menjadikan seseorang Mukmin itu sentiasa berdamai dengan takdir Allah. Orang yang selalu dalam hatinya penuh sifat reda tidak akan merungut atau berasa keluh kesah biarpun keinginannya tidak tertunai kerana yakin Allah lebih mengetahui apa yang terbaik buat dirinya.

Nilai orang yang hampir dengan Allah selalu berasa damai dengan kehendak Allah.

Setiap manusia tidak akan dapat memenuhi segala tuntutan nafsunya yang terlalu banyak.

Namun, rasa cinta yang tinggi kepada Allah dapat menutup nafsu dan kehendak diri yang pelbagai. Dalam kehidupan seseorang yang merasai keimanan kepada Allah SWT akan meletakkan Rasul dan ummah itu sebagai keutamaan dalam hidup.

Justeru, keperluan agama menjadi keutamaan berbanding dengan keutamaan nafsu sendiri.

Hati yang dekat dengan Allah SWT, akan selalu basah dengan zikrullah. Bahkan, menyebut-nyebut nama Allah, membesarkan Allah dan mengingati Allah akan menyuburkan hati untuk terus hidup dengan kebesaran Allah SWT.

Orang yang hatinya hidup dan subur dengan selalu mengingati Allah akan berasa bahagia yang hakiki dalam kehidupan ini.

Oleh kerana itulah orang alim dan warak, wajah mereka selalu tenang pada saat berdepan ujian kerana berasa dunia ini hanya tempat persinggahan untuk mengumpul sebanyak mungkin pahala dan kebaikan sebelum menuju ke alam akhirat yang kekal abadi.

Tidak menyakiti sesama insan

Perasaan kasih dan cinta sesama manusia adalah wadah cinta kita kepada Allah. Seseorang yang mencintai Allah akan juga mengasihi manusia lain kerana Allah.

Justeru, manusia yang hatinya penuh cinta dan kasih sesama manusia tidak sesekali memiliki perasaan menyakiti sesama insan.

Tidak membenci makhluk yang lain, malahan rasa cinta itu akan menjadikan mereka manusia yang berjiwa besar untuk terus menjalankan peranan sebagai hamba Allah di muka bumi ini.

Orang yang hatinya dekat dengan Allah, matanya selalu mengalir air jernih tanda keinsafan dan rasa takut terhadap kebesaran dan azab Allah. Hati yang dekat dengan Allah akan terpancar melalui akhlak, tutur kata dan perbuatan yang tawaduk dan penuh nilai kemuliaan diri yang tinggi.

* Penulis ialah Ketua Unit Berita IKIMfm.

96 dibaca
Berita Harian X