Selasa, 13 Jun 2017 | 2:27pm

Jenazah 6 beranak dikebumi dalam satu liang


WAN Mohd Hazim Wan Mohd Fauzi, 19, menyiram air mawar ke pusara ibubapa dan adik-adiknya yang terkorban dalam kemalangan ngeri di Ladang RISDA Palong, Jempol, Negeri Sembilan petang semalam yang dikebumikan dalam satu liang di Tanah Perkuburan Islam Kampung Seberang Pekan Jelawat. - Foto Syamsi Suhaimi

BACHOK: Suasana pilu di Tanah Perkuburan Islam Seberang Jelawat, di sini selepas jenazah enam beranak yang maut dalam nahas di Kilometer 25 Jalan Bahau-Keratong, Jempol, kelmarin selamat dikebumikan di satu liang, jam 3 pagi tadi.

Lebih 500 ahli keluarga, saudara dan kenalan memberi penghormatan terakhir kepada jenazah Wan Mohd Fauzi Wan Mohd Ibrahim, 51; Masnoraida M Yusof, 45; Wan Muhammad Muhaimmin, 22; Wan Nor Athira, 18; Wan Mohd Haziq, 13; dan Wan Nur Aiesya, 7.

Terdahulu, keenam-enam jenazah dari Hospital Jempol, Negeri Sembilan dibawa ke sini pada jam 1.06 pagi sebelum dibawa ke Masjid Naim, Jelawat untuk disembahyangkan.

Enam jenazah itu dibawa dengan empat van jenazah milik Masjid Kariah Pekan Rompin, Masjid Kariah Felda Palong 7, Pemuda UMNO Putrajaya dan Hospital Jempol, Negeri Sembilan.

Turut hadir, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Bachok, Datuk Dr Illias Husain dan Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Jelawat, Mohd Radzuan Hamat.

Dalam kemalangan kira-kira jam 2.30 petang kelmarin, lapan maut manakala seorang budak lelaki berusia tiga tahun cedera parah dalam nahas membabitkan empat kenderaan di Kilometer 25, Jalan Bahau-Keratong, Bandar Seri Jempol, Negeri Sembilan.

Kemalangan dipercayai berpunca daripada pemandu treler yang dalam perjalanan dari arah Keratong, Pahang, cuba memotong sebuah motosikal tetapi gagal, lalu terbabas ke lorong bertentangan.

Enam beranak itu berada dalam Proton Exora yang dihempap treler yang terbalik itu.

1444 dibaca
Berita Harian X