Isnin, 12 Jun 2017 | 1:29pm
KETUA Projek yang juga Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi UTM, Prof Dr Ahmad Fauzi Ismail (tengah) bersama penyelidik memperkenalkan alat hemodialiser yang dikenali Home-grown Haemodialysis System. - Foto Hairul Anuar Rahim

Penyelidik UTM cipta alat hemodialiser


KETUA Projek yang juga Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi UTM, Prof Dr Ahmad Fauzi Ismail menunjukkan alat hemodialiser yang dikenali Home-grown Haemodialysis System. - Foto Hairul Anuar Rahim

JOHOR BAHRU: Sekumpulan penyelidik Universiti Teknologi Malaysia (UTM) mencipta satu alat hemodialiser yang dikenali Home-grown Haemodialysis System berfungsi sebagai pemudah cara bagi mencuci dan membersih darah kepada pesakit buah pinggang.

Inisiatif itu dibangunkan 12 penyelidik termasuk pelajar ijazah doktor falsafah (PhD) dari Pusat Penyelidikan Membrane Termaju (AMTEC), UTM itu dengan kos rendah, selain lebih produktif kerana mempunyai kadar penyucian atau penyulingan darah lebih pantas.

Ketua Projek yang juga Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi UTM, Prof Dr Ahmad Fauzi Ismail, berkata projek berimpak tinggi yang mengambil tiga tahun hingga dapat menghasilkan prototaip itu, mempunyai kepantasan mencuci darah 14 liter per minit berbanding produk lain di pasaran iaitu lapan liter per minit.

Katanya, sebagai pusat kecemerlangan pengajian tinggi, UTM bertanggungjawab menjalankan penyelidikan asas dan penyempurnaan dalam teknologi membran, selain menghasilkan hemodialiser yang pertama bagi memberi manfaat kepada UTM dan negara.


ALAT hemodialiser yang dikenali Home-grown Haemodialysis System. - Foto Hairul Anuar Rahim

"Selama ini, hemodialiser adalah 100 peratus import dari luar, belum ada industri atau kilang di Malaysia yang mampu menghasilkannya sendiri. Malah, kos purata untuk merawat pesakit buah pinggang ini dalam lingkungan RM25,270 setahun.

"Secara keseluruhannya, statistik menunjukkan kira-kira 38,000 pesakit buah pinggang yang dicatatkan pada tahun lalu dan angka itu berkemungkinan meningkat sehingga mencapai 43,000 orang pada penghujung tahun ini, malah ia bersamaan dengan kira-kira RM950 juta yang diperuntukkan kerajaan bagi tujuan rawatan berkenaan.

"Justeru, tindakan segera diperlukan untuk mengimbangi dan menurunkan kos haemodialiser dengan membangunkan produk penyucian darah bagi pesakit buah pinggang iaitu bermula dengan penghasilan teknologi haemodialiser yang berimpak tinggi," katanya pada sidang media memperkenalkan reka cipta haemodialiser yang diadakan di sini, hari ini.

Ahmad Fauzi berkata, pihaknya kini dalam usaha menghasilkan set lengkap sistem haemodialisis buatan tempatan untuk penyucian darah dengan menggunakan bahan utama iaitu plastik menerusi projek pembangunan membran haemodialisis berprestasi tinggi yang dijangka mengambil tempoh dua tahun akan datang.

Katanya, pembangunan alat itu mampu mengurangkan kira-kira 30 peratus kos yang terpaksa ditanggung kerajaan dalam mendapatkan rawatan penyucian darah kepada pesakit buah pinggang.

46 dibaca
Berita Harian X