Isnin, 12 Jun 2017 | 8:42am

Nilai semula kursus berkaitan perbankan

Awal bulan ini, RHB Bank dan Ambank Group mengumumkan mendapat kebenaran Bank Negara untuk berunding bagi penggabungan. Jika rundingan itu berjaya, ia bakal menyaksikan penyatuan operasi kedua-duanya ke dalam hanya sebuah entiti. Siapa telan siapa kita tunggu penyelesaiannya.

Tapi yang pasti, ia bakal mengurangkan lagi bilangan kumpulan perbankan tempatan. Inisiatif penggabungan institusi kewangan tempatan telah dimulakan sejak akhir 1990-an lagi, sebaik negara keluar daripada kemelut krisis kewangan Asia pada 1997/98. Hasilnya, bilangan bank serta institusi kewangan kita dikurangkan daripada lebih 50 kepada hanya lapan kumpulan besar.

Dari sudut ekonomi, penggabungan amat penting bagi mewujudkan kumpulan perbankan tempatan yang betul-betul kukuh, bukan saja mampu bertahan daripada sebarang kejutan ekonomi malah boleh bersaing di peringkat serantau. Namun, ia juga ada kesan sampingan yang perlu ditangani. Salah satunya ialah dari segi pekerjaan.

Ketika penggabungan pusingan pertama dulu, antara yang ditekankan kerajaan ialah tiadanya pemberhentian kerja susulan proses itu. Rasanya semua kumpulan perbankan terbabit mematuhinya. Setiap pekerja diserapkan ke dalam entiti gabungan. Namun, apabila semua kumpulan perbankan berkenaan memasuki fasa pengukuhan operasi beberapa tahun selepas itu, pertindihan cawangan dan pekerjaan perlu ditangani. Justeru ada yang terpaksa melaksanakan Skim Pemberhentian Sukarela (VSS) dengan menawarkan pampasan lumayan kepada pekerja yang bersedia berhenti untuk meneroka kerjaya baharu atau memulakan perniagaan sendiri.

Selain VSS, kumpulan perbankan terbabit juga melaksanakan rasionalisasi pekerjaan dengan melakukan penempatan semula pekerja. Berikutan itu sejak program penggabungan itu, peluang graduan atau lepasan sekolah baharu menyertai kerjaya sektor perbankan amat terhad.

Kebelakangan ini pula, persekitaran perniagaan sektor perbankan mengalami perubahan ketara berikutan kemajuan teknologi digital. Sebahagian besar urusan perbankan kini sudah boleh dilakukan secara digital hanya menggunakan laptop atau telefon bimbit. Justeru, jika dulu kekuatan bank antaranya diukur dari segi bilangan cawangan, kini ukuran itu sudah tidak relevan.

Dalam era digital ini bank tidak lagi memerlukan cawangan. Cukup dengan memiliki laman web yang terjamin keselamatannya serta rangkaian mesin ATM dan CDM yang boleh ditempatkan di mana-mana saja. Perkembangan ini sebenarnya telah mengehadkan lagi peluang pekerjaan dalam sektor perbankan. Berikutan itu tidak hairanlah jika graduan perbankan kita semakin sukar mendapatkan pekerjaan sesuai dengan bidang kelulusan mereka. Sesuatu perlu dilakukan.

Sektor perbankan tidak boleh dipersalahkan kerana apa yang mereka lakukan adalah berdasarkan tuntutan serta keperluan semasa. Dalam hal ini mungkin sudah sampai masanya bagi pihak universiti menilai semula kursus berkaitan perbankan yang ditawarkan, terutama dari segi bilangan pengambilannya agar ia setara dengan keperluan dan perkembangan semasa.

Penulis adalah Penulis Khas Kanan Ekonomi & Ehwal Semasa

33 dibaca
Berita Harian X