Ahad, 11 Jun 2017 | 6:14am

Malaysia #QuranHour 2017 bukan kempen bermusim

BUKAN bermusim, tetapi 365 hari setahun adalah masa untuk berinteraksi dengan al-Quran sekurang-kurangnya sejam sehari.

Demikianlah hasrat ingin disampaikan Yayasan Warisan Ummah Ikhlas mengenai kempen Malaysia #QuranHour 2017.

Menerusi kempen yang bakal diadakan pada 19 Jun ini bersamaan dengan 24 Ramadan, selama sejam umat Islam di seluruh Malaysia dan warga Malaysia di luar negara digalakkan berhenti daripada melakukan aktiviti harian dan berinteraksi dengan kitab suci al-Quran.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Warisan Ummah Ikhlas, Marhaini Yusoff, berkata penyertaan bukan hanya daripada umat Islam di Malaysia tetapi juga warga Malaysia yang berada luar negara.

"Pada tarikh berkenaan, bermula jam 11.30 pagi secara serentak kita akan memulakan berinteraksi dengan al-Quran sama ada mengaji, membaca terjemahan atau bertaddabur pada majlis yang akan diadakan di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin (Masjid Besi) Putrajaya," katanya.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dijangka turut mencemar duli menyertai Malaysia #QuranHour 2017.

Sambil menyangkal pendapat sesetengah pihak yang mendakwa kempen ini bermusim, Marhaini berkata, Malaysia #QuranHour 2017 bukan membaca al-Quran sejam setahun tetapi ia adalah proses membentuk tabiat setia dengan kitab suci itu sepanjang hidup.

Bukan bermusim

Katanya, salah faham itu timbul kerana menyangka ia adalah program bersifat sekali dan hanya membaca al-Quran ketika kempen sahaja.

Malaysia #QuranHour 2017 adalah persekitaran yang disediakan supaya semua berinteraksi dengan al-Quran, membaca, memahami dan mengamalkan ajarannya.

"Ramai yang sibuk bekerja sehingga menjadikan mereka jauh daripada al-Quran. Ada yang terakhir khatam berpuluh tahun dahulu dan selepas itu tidak lagi membuka al-Quran.

"Ramai juga yang kami jumpa melihat al-Quran hanya setakat memperelokkan bacaan, bukan dalam pendekatan memperindahkan akhlak apatah lagi menjadikannya panduan penting keluarga, organisasi dan komuniti. Maknanya, kita sentiasa ada ruang untuk melakukan pembaikan," katanya.

Tiga program utama

Beliau berkata, pemilihan tarikh 24 Ramadan bagi menggalakkan masyarakat melakukan pecutan 10 hari terakhir Ramadan dengan ketetapan waktu yang dicadangkan bagi memudahkan koordinasi program di seluruh dunia.

"Harapan kita pada tarikh berkenaan akan terjadi gelombang manusia yang membaca al-Quran, membuka kita suci itu atau sekurang-kurangnya memandang al-Quran kerana perbuatan itu juga diberi pahala. Jika tidak boleh mengaji, baca terjemahan ayat," katanya.

Yayasan Warisan Ummah Ikhlas menganjurkan tiga program utama iaitu Rumah Ngaji sebagai pusat pengajian al-Quran percuma, kempen #QuranHour yang menggalakkan berinteraksi dengan kitab suci dan Sahabat alQuran penggerak membantu menarik masyarakat mendekati alQuran.

Berita Harian X