Khamis, 8 Jun 2017 | 10:19pm

Al Jazeera kekal kebebasan editorial


The Al Jazeera Media Network logo is seen on its headquarters building in Doha, Qatar June 8, 2017. REUTERS/Naseem Zeitoon[FOTO NASEEM ZEITOON /BH]

DOHA: Al Jazeera Qatar akan mengekalkan kebebasan editorialnya walaupun berdepan krisis diplomatik serantau yang meminggirkan negara Teluk itu, kata pemangku Ketua Pengarah rangkaian penyiaran yang berpangkalan di sini, hari ini.

Mostefa Souag menolak tuduhan beberapa kuasa Arab bahawa Al Jazeera mencampuri urusan mereka melalui laporannya.

"Semua dakwaan mengenai Jazeera campur tangan dalam hal ehwal negara lain adalah karut. Kami tidak campur tangan dalam hal ehwal sesiapa, kami hanya melaporkan," kata Souag di ibu pejabat rangkaian itu di sini.

"Jika kami mengundang tetamu yang menentang kerajaan tertentu, adakah ini bermakna kami mencampuri urusan negara itu? Tidak. Dasar utama editorial Al Jazeera akan diteruskan tanpa mengira apa yang berlaku dengan peristiwa ini."

Rangkaian yang dibiayai negara itu terbabit dengan pertikaian apabila Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Mesir dan Bahrain memutuskan hubungan diplomatik dan rangkaian pengangkutan pada Isnin lalu dengan Qatar, sebuah kuasa pelaburan dan pembekal gas asli ke pasaran dunia.

Ditubuhkan pada 1996 sebagai sebahagian daripada usaha Qatar menjadikan kuasa ekonomi kepada pengaruh politik, Al Jazeera berjaya mengumpan jutaan penonton di seluruh dunia Arab dengan menawarkan perdebatan yang jarang ditampilkan penyiar tempatan lain di rantau ini.

Bagaimanapun, rangkaian itu mencetus prasangka dalam kalangan banyak kerajaan berikutan waktu siaran yang diberikan kepada kumpulan militan Daesh di Syria, Libya dan di tempat lain. - Reuters

66 dibaca
Berita Harian X