Khamis, 8 Jun 2017 | 6:37pm

Lapan jam SPRM 'geledah' pejabat FGV


PEGAWAI dan anggota SPRM diiringi Polis Bantuan memasukkan dokumen berkaitan siasatan terhadap Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) ke dalam kereta di Menara Felda. - Foto Asyraf Hamzah

KUALA LUMPUR: Seramai 40 pegawai dan anggota Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) beredar dari Menara FELDA petang tadi selepas lapan jam berada di tingkat 45 bangunan itu.

Mereka beredar dari bangunan itu pada jam 5.56 petang membawa empat kotak dan tiga beg bagasi dipercayai berisi dokumen berkaitan Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV).

Difahamkan, semua barangan itu akan dibawa ke pejabat SPRM untuk membantu siasatan.

Pegawai dan anggota SPRM yang hadir bagaimanapun enggan ditemui pemberita dan terus meninggalkan pekarangan Menara Felda sebaik turun ke lobi utama bangunan berkenaan.

Semalam, Zakaria tampil di ibu pejabat SPRM di Putrajaya dengan berbekalkan beberapa dokumen berhubung FGV untuk memberi keterangan.

Pada Selasa, Zakaria dan tiga lagi pegawai pengurusan kanan FGV dan anak syarikatnya dipaksa bercuti berkuat kuasa serta-merta.

Selain Zakaria, Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan FGV, Ahmad Tifli Mohd Talha; Pengurus Besar Kanan Delima Oil Products Sdn Bhd, Kamarzaman Karim, dan Ketua Pegawai Eksekutif FGV Trading, Ahmad Salman Omar turut dipaksa bercuti.

57 dibaca
Berita Harian X