Jumaat, 26 Mei 2017 | 9:33am
KUALA LUMPUR 24 MAY 2017.Usahawan Kraftangan , Nik Haznita Yusof​.NSTP/Ihsan Pembaca

Kalorsuri tawar tudung eksklusif, edisi terhad


KUALA LUMPUR 29 MARCH 2017. Logo baharu Fiesta Muslimah BH 2017 (FMBH'17). NSTP/Ihsan PEMBACA

KUALA LUMPUR: Tudung eksklusif dengan corak edisi terhad, antara tarikan menanti peminat jenama Kalorsuri pada Fiesta Muslimah BH 2017 (FMBH'17) yang berlangsung di Pusat Konvesyen Shah Alam, bermula 2 hingga 4 Jun ini.

Koleksi tudung jenama itu yang dihasilkan oleh usahawan kraf tangan, Nik Haznita Yusof, 35, menampilkan cita rasa berbeza daripada tudung lain kerana dihasilkan sepenuhnya dengan buatan tangan.

Tudung Kalorsuri dihasilkan menerusi teknik ikat dan celup dengan menggunakan peralatan seperti besi, kayu, tali, penyepit dan batang buluh.

"Hasil daripada ikatan itu menjadikan corak abstrak yang unik.


ANTARA koleksi tudung jenama Kalorsuri. - Foto ihsan pembaca

"Untuk koleksi ini hanya corak untuk setiap helaian tudung yang dihasilkan. Tudung itu dijamin tidak luntur kerana menggunakan material yang boleh dicuci walaupun menggunakan mesin basuh," katanya.

Nik Haznita berkata, beliau menggunakan fabrik sifon yang mendapat permintaan tinggi kerana lebih mudah disarung dan tidak perlu digosok.


ANTARA koleksi tudung jenama Kalorsuri. - Foto ihsan pembaca

"Kami membeli kain di sebuah gedung beli-belah di ibu kota untuk memastikan kualiti dan harga ditawarkan berpatutan.

"Setiap hari saya akan menghasilkan corak istimewa dan tiada stok disimpan. Itu yang membuatkan tudung Kalorsuri ini seolah-olah baharu keluar dari ketuhar," katanya.

Sempena FMBH'17, beliau akan membawa sekurang-kurangnya 500 helai tudung edisi terhad ini dan jika permintaan memberangsangkan, beliau akan menghasilkannya lagi.

"Ramadan dan Aidilfitri ini pasti membuatkan ramai wanita ingin bergaya. Jadi, ini adalah peluang saya untuk memberi sesuatu yang eksklusif kepada setiap orang.

"Harga antara RM68 hingga RM129. Pelbagai tudung seperti empat segi, selendang dan selendang segera ditawarkan kepada semua," katanya.

176 dibaca
Berita Harian X