Isnin, 22 Mei 2017 | 9:27pm

Remaja maut diserang buaya


KESAN luka di paha kiri mangsa dipercayai gigitan buaya. - Foto ihsan bomba

BINTANGOR : Seorang remaja lelaki yang dilaporkan terjatuh di Sungai Kampung Kawi di sini, petang tadi ditemui maut dengan beberapa kesan luka di paha kirinya dipercayai gigitan buaya.

Mangsa, Andrian Tan, 13, dikatakan tiba-tiba terjatuh ke dalam sungai seperti ditarik 'sesuatu' ketika dia bersama seorang rakannya duduk di gigi air pada jam 6.45 petang.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, Tiong Ling Hii, berkata pihaknya menerima panggilan pada jam 7.07 malam tadi.

Beliau berkata, sebuah jentera dengan lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Bintangotlr dikejarkan ke tempat kejadian.

"Bagaimanapun, sebelum anggota bomba tiba di lokasi, penduduk kampung berjaya menemui mayat mangsa pada jam 7.10 malam.

"Mayat mangsa ditemui kira-kira 500 meter dari lokasi dua dilaporkan terjatuh," katanya.

Ling Hii berkata, mayat kemudiannya dihantar ke kediamannya di rumah panjang kerana keluarganya enggan dibedah siasat.

"Keluarga memohon mayat mangsa terus dihantar ke rumah panjang untuk upacara sembahyang kerana mereka mengenal pasti mangsa memang diserang buaya berdasarkan kesan gigitan di tubuhnya serta keterangan rakan-rakannya," katanya.

501 dibaca
Berita Harian X