Ahad, 21 Mei 2017 | 12:51pm

Piala FA: Nizdam dedah rahsia Kedah


KETUA Jurulatih Kedah Mohd Nidzam Adzha Yusoff menjulang Piala FA 2017 bersama penyokong selepas pasukan Lang Merah menewaskan pasukan Pahang dengan jaringan 3-2 di Stadium Shah Alam hari ini. - Foto BERNAMA

SHAH ALAM: Tanpa berselindung, pengendali sementara Kedah, Nidzam Adzha Yusoff mengakui bekas bos Helang Merah, Tan Cheng Hoe banyak memberikan panduan untuk membantunya membawa pulang Piala FA, malam tadi.

Ternyata, rahsia yang dikongsi Cheng Hoe menjadi azimat apabila mereka berjaya mengekang asakan Pahang sebelum menang 3-2 pada aksi final di Stadium Shah Alam.

Nidzam yang cukup lega apabila pemainnya mampu menangani tekanan di pentas final mendedahkan dia sentiasa berhubung dengan Cheng Hoe.

"Cheng Hoe seorang individu yang cukup bagus. Setiap hari saya minta pendapatnya dan dia juga tidak lokek untuk memberi nasihat," katanya selepas tamat perlawanan.

Pastinya kejayaan itu memberikan seribu makna buat Nidzam untuk kekal selaku pengendali tetap pasukan sehingga akhir musim ini.

"Itu yang dijanjikan oleh pengurusan (tugas selaku jurulatih jika menang Piala FA). Terima kasih pemain kerana memberikan segala-galanya," katanya.

Namun Nidzam mengakui berdepan detik cemas terutama dengan kebangkitan pemain Tok Gajah yang bersungguh-sungguh mengejar kelebihan gol dimiliki Kedah.

Situasi itu jelas mendedahkan kelemahan Kedah yang belum cukup ampuh mempertahankan kelebihan jaringan dan ia akan diberi perhatian utama oleh Nidzam menjelang saingan baki Liga Super musim ini.

"Itulah... selepas kita mendahului, kita hilang fokus. Kami (akan) perkemaskan lagi dan perlu mencapai tahap terbaik apabila sedang mendahului.

"Apabila Pahang beraksi 10 orang, kita kena berhati-hati dengan corak permainan mereka yang menerapkan permainan mudah iaitu terus menghantar bola ke depan. Alhamdulillah, kita dapat mengatasinya," katanya.

408 dibaca
Berita Harian X