Selasa, 23 Mei 2017 - 1:41AM
Waktu Solat Kuala Lumpur:

Jet pejuang iringi pesawat susulan gangguan penumpang


SEORANG penumpang cuba memasuki kokpit pesawat yang sedang dalam penerbangan dari Los Angeles ke Honolulu.. - Foto AP

WASHINGTON: Dua jet pejuang milik tentera Amerika Syarikat dikerah mengiringi pesawat American Airlines menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Honolulu.

Menurut jurucakap Pemerintah Pasifik, ia susulan gangguan yang dilaporkan berlaku di dalam pesawat terbabit.

Walaupun tiada makluman kejadian didedahkan oleh American Airlines atau pihak tentera mengenai punca tindakan itu, media tempatan melaporkan seorang penumpang cuba memasuki kokpit pesawat yang sedang dalam penerbangan dari Los Angeles ke Honolulu.

Sementara itu, konsortium tiga rangkaian televisyen bersekutu, HawaiiNewsNow, berkata anak kapal dan seorang pegawai polis Honolulu yang tidak bertugas berjaya menahan penumpang berkenaan.

Ketika memetik sumber, rangkaian berita itu juga melaporkan penumpang lelaki berbangsa Turki berkenaan dipercayai melanggar kawalan keselamatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Los Angeles, tetapi dibenarkan menaiki pesawat terbabit.

Bagaimanapun, Reuters gagal mengesahkan maklumat yang didedahkan oleh laporan media itu.

Dalam pada itu, American Airlines mengesahkan anak kapal pesawat dari Los Angeles menuju ke Honolulu terbabit ada memohon bantuan pihak berkuasa bagi mengiringi pesawat Airbus A321 berkenaan, berikutan 'gangguan ketika dalam penerbangan'.

Menurut syarikat penerbangan itu, pesawat yang membawa 181 penumpang dan enam anak kapal berjaya mendarat dengan selamat di Honolulu pada jam 11:35 pagi (waktu tempatan).

Tiada kecederaan dilaporkan. - REUTERS


Trending

    Disyorkan