Rabu, 28 Jun 2017 - 8:22PM
Waktu Solat Kuala Lumpur:

141 maut serangan pangkalan udara Brak al-Shati

TRIPOLI: Seramai 141 maut, kebanyakannya anggota tentera yang setia kepada Jeneral Khalifa Haftar dalam serangan ke atas sebuah pangkalan udara di selatan Libya, Khamis lalu.

Jurucakap Tentera Kebangsaan Libya (LNA), Ahmad al-Mesmari, berkata mangsa yang terkorban, termasuk orang awam yang bekerja di pangkalan udara Brak al-Shati dan kawasan berhampiran.

Menurut sumber tentera, serangan dipercayai dilakukan oleh ahli kumpulan militia Pasukan Ketiga yang setia kepada Kerajaan Perpaduan Kebangsaan (GNA) yang mendapat sokongan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Tripoli.

"Semua mangsa baru pulang dari menyertai perarakan tentera. Mereka tidak bersenjata. Sebahagian besar daripada mereka terbunuh," kata al-Mesmari.

Sementara itu, GNA dalam satu kenyataan berkata, satu suruhanjaya siasatan sudah ditubuhkan bagi menyiasat serangan itu.

Perdana Menteri GNA, Fayez Seraj turut mengumumkan bahawa Menteri Pertahanan, Mahdi Al-Barghathi dan Komander Pasukan Ketiga, Jamal Traiki digantung tugas sehingga siasatan mengenai pihak yang bertanggungjawab melanggar perintah gencatan senjata diketahui. - AFP/Reuters


Trending

    Disyorkan