Sabtu, 20 Mei 2017 | 7:11am

Bekas pegawai akaun beralih ke bidang perubatan


PENGARAH Hospital Sri Kota Specialist Medical Centre, Tan Suet Guan. - Foto NSTP/Halimaton Saadiah Sulaiman

KUALA LUMPUR: Perjuangan lebih 30 tahun dalam bidang penjagaan kesihatan, mempengaruhi ketokohan Pengarah Pusat Pakar Perubatan Sri Kota, Klang, Tan Suet Guan dalam membentuk landskap sektor penjagaan kesihatan negara secara optimum.

Berikutan itu, Tan kini dalam proses menubuhkan pusat kecemerlangan baharu, iaitu pusat kanser di Klang dan merekrut lebih ramai doktor pakar dalam tenaga kerja sektor perkhidmatan kesihatan.

Memulakan kerjaya sebagai pegawai akaun pada 1982, di Pusat Perubatan Pantai, beliau pernah menjadi individu penting dalam akreditasi Joint Commission International (JCI) untuk Hospital Pantai Kuala Lumpur pada 2009.

Selain itu, beliau juga memainkan peranan yang penting dalam pentauliahan Bahagian Kewangan dan Bil untuk Pusat Perubatan Normah di Sarawak.


PENGARAH Hospital Sri Kota Specialist Medical Centre, Tan Suet Guan (kiri) bersama pegawai kanan hospital dihadapan pintu masuk Pusat Wellness & Vaksin ketika membuat tinjuan pada pelancaran Pusat Hemodialisis dan Pusat Wellness & Vaksin di Sri Kota Specialist Medical Centre, Klang. - Foto Faiz Anuar

Lahirkan hospital bertaraf dunia

Tan berkata, perkembangan dan peranan sektor penjagaan kesihatan penting sebagai tulang belakang kepada ekonomi.

Katanya, komitmen secara bersepadu membolehkan pesakit mendapat perkhidmatan penjagaan kesihatan selesa, berkesan, cepat selain berpeluang menggunakan teknologi terkini dalam rawatan penyakit.

"Sejak pembabitan saya dalam bidang ini, saya amat menitik beratkan peningkatan piawaian kesihatan terutama dalam produktiviti modal insan.

"Penubuhan hospital dan pusat baharu seperti pusat kanser menawarkan nafas baru kepada setiap pesakit melangkah masuk ke hospital untuk mendapatkan rawatan," katanya ketika ditemui, baru-baru ini.


PENGARAH Pusat Pakar Perubatan Sri Kota, Klang, Tan Suet Guan​ sentiasa mendekati kakitangannya untuk memastikan semua perkara berjalan lancar. - Foto ihsan Pembaca

Teknologi dan perkhidmatan terbaik

Tan berkata, perhatian serius kini sudah diberikan peneraju penjagaan kesihatan menerusi kemajuan saintifik dalam perubatan.

Bagaimanapun, peneraju kesihatan seharusnya lebih bersiap sedia untuk beralih kepada memberi perkhidmatan penjagaan kesihatan berkualiti dan pencegahan perubatan terbaik kepada pesakit.

Berikutan itu, penggunaan perisian sistem canggih, meningkatkan keselamatan pesakit, kecekapan melalui pemantauan dan laporan petunjuk kualiti klinikal, selain petunjuk prestasi utama bukan klinikal antara yang diguna pakai sehingga hari ini dalam kepimpinan beliau.

"Setiap hari, kita mendengar orang menghidap penyakit dan ia berlaku setiap masa. Sudah tentu, mereka mengunjungi hospital untuk mendapatkan perkhidmatan terbaik.


PENGARAH Pusat Pakar Perubatan Sri Kota, Klang, Tan Suet Guan ketika mendapat Anugerah Kepimpinan Global (Sektor Penjagaan Kesihatan ) 2013 lalu. - Foto ihsan Pembaca

"Justeru, sebagai peneraju perkhidmatan penjagaan kesihatan, kita perlu memberikan perkhidmatan dan penyampaian berkesan sepanjang rawatan.

"Paling penting, beri keputusan penyakit paling cepat kerana ia membabitkan nyawa pesakit selain terus menawarkan rawatan bagi menyelamatkan seberapa banyak nyawa ," katanya.

Antara lain beliau mahu memberikan perkhidmatan kepada masyarakat menerusi penyediaan kepakaran doktor terbaik selain menjadi hospital yang menawarkan semua kepakaran di bawah satu bumbung.

Terjemahkan ketokohan

Beliau terus menyumbang kepada masyarakat dan sektor kesihatan dengan mengetuai pelbagai jawatankuasa yang ditubuhkan untuk projek khas seperti pemusatan perolehan pada peringkat kumpulan, penjimatan kos, pembangunan semula dan pengembangan kemudahan, sama seperti dilakukan sebelum ini.


PENGARAH Hospital Sri Kota Specialist Medical Centre, Tan Suet Guan (tengah) bersama pegawai kanan hospital melihat demostrasi pendaftaran pelanggan menggunakan sistem online ketika membuat tinjauan di Pusat Wellness & Vaksin pada pelancaran Pusat Hemodialisis dan Pusat Wellness & Vaksin di Sri Kota Specialist Medical Centre, Klang. - Foto Faiz Anuar

Beliau juga menyusun strategi mengatasi beberapa cabaran besar yang dihadapi oleh industri termasuk pemerolehan dan pengekalan bakat selain positif meningkatkan tahap perkhidmatan atas matlamat menjadikan Malaysia sebagai pusat kecemerlangan serantau dalam penjagaan kesihatan.

Hasil komitmen berterusan ini, beliau menerima Anugerah Kepimpinan Wanita (WIL ) Asia 2012 dan Anugerah Kepimpinan Global (Sektor Penjagaan Kesihatan ) 2013.

"Walaupun bukan seorang doktor dan tiada pendidikan dalam bidang perubatan saya percaya prestasi individu itu didorong oleh semangat," katanya.

INFO
Nama: Tan Suet Guan
Asal : Kuala Lumpur
Usia : 60 tahun
Pendidikan : Diploma Pengurusan Universiti Malaya
Kejayaan:

: Menubuhkan jabatan kewangan dan sistem maklumat hospital ( HIS) ketika berkhidmat di Institut Jantung Negara (IJN).

: Pernah menjawat Ketua Pegawai Eksekutif Wanita Pertama dalam Kumpulan Pantai Hospital.

: Memperkenalkan tiga pusat baharu iaitu Pusat Kanser, Pusat Penjagaan Payudara dan Pusat Sendi dan Tulang Belakang Hospital Pantai.

: Merangka strategi pemasaran dan menaik taraf Hospital Pantai Cheras menerusi pengenalan wad baru pediatrik, farmasi satelit dan pusat perkhidmatan pendengaran dan perkhidmatan endoskopi.

: Merintis pelbagai kempen di luar bandar.

: Mendidik rakyat mengenai pelbagai isu kesihatan.

: Menyebarkan gaya hidup sihat dan produktif.

: Terbabit dalam penubuhan Hospital Pantai Ampang pada 2002

73 dibaca
Berita Harian X