Rabu, 28 Jun 2017 - 8:27PM
Waktu Solat Kuala Lumpur:

Proses kira undi pilihan raya presiden Iran bermula hari ini.


PENDUDUK Iran membuang undi pada pilihan raya presiden di sesuatu tempat mengundi di Tehran, Iran. - Foto REUTERS

DUBAI/BEIRUT: Proses pengiraan undi pilihan raya Presiden Iran bermula hari ini, selepas tempoh mengundi dilanjutkan selama enam jam bagi memberi peluang kepada orang ramai menunaikan tanggungjawab masing-masing.

Kementerian Dalam Negeri berkata, lebih 40 juta undi dicatatkan atau kira-kira 70 peratus daripada jumlah yang layak mengundi, dalam persaingan sengit membabitkan Presiden Hassan Rouhani dan hakim, Ebrahim Raisi.

Jumlah itu menyamai kadar keluar mengundi yang dicatatkan dalam pilihan raya presiden pada 2013, ketika Rouhani mengambil alih pemerintahan Iran.

Sementara itu, akhbar Iran menyifatkan jumlah itu satu kejayaan dengan menyiarkan tajuk utama ia sebagai 'satu sejarah bagi rakyat Iran'.

Laman web berita pro-pembaharuan pula berkata, kemenangan memihak kepada Rouhani, kerana menganggap jumlah pengundi yang tinggi akan memberi kelebihan kepada presiden itu.

Dalam pada itu, Rouhani, 68, ketika dilantik menjadi Presiden Iran berjanji untuk membuka pintu negara itu kepada dunia luar, selain memberi lebih kebebasan kepada rakyatnya.

Namun, beliau menghadapi cabaran daripada Raisi, penyokong kuat dan bekas anak didik pemimpin utama Iran, Ali Khamenei.

Pilihan raya ini juga dianggap penting bagi masa depan Iran, ketika Rouhani terikat dengan perjanjian bersama kuasa besar dunia yang ditandatangani dua tahun lalu.

Perjanjian itu berjaya mengawal program nuklear Iran bagi membolehkan sekatan ekonomi ke atas negara itu ditamatkan. - REUTERS


Trending

    Disyorkan