Ahad, 25 Jun 2017 - 1:27AM
Waktu Solat Kuala Lumpur:

Puas tunggang motosikal kuasa besar ke pejabat

Oleh Samadi Ahmad



Anggota Ladies Bikers Yamaha R250 menampilkan imej wanita bertudung menunggang motosikal berkuasa tinggi. - Foto Samadi Ahmad

Imej wanita bertudung, lazimnya dikaitkan dengan insan lemah lembut dan sopan, mungkin sukar dilihat sebagai individu lasak apabila menunggang motosikal berkuasa tinggi, namun ia sudah jadi kebiasaan pada zaman sekarang.

Menariknya, motosikal ini bukan sahaja ditunggang secara suka-suka atau hobi, sebaliknya ada dalam kalangan mereka yang sanggup menabung untuk memilikinya semata-mata untuk kegunaan harian termasuk ke tempat kerja.

Bagi kakitangan pentadbiran sebuah hospital swasta di ibu kota, Maizon Mohamed Isa, 42, berkata imej bertudung langsung tidak menjadi penghalang untuk menunggang motosikal berkuasa tinggi, malah beliau lebih dihormati lelaki.

Katanya, sebelum ini bermula dengan motosikal FZ 150 dan kini bertukar kepada Yamaha R250, dikongsi bersama suami, Hisham Hashim, 42, yang turut meminati hobi menunggang motosikal berkuasa tinggi.

Ibu kepada enam cahaya mata berumur antara tiga hingga 23 tahun itu berkata, minat terhadap motosikal berputik sejak di bangku sekolah dan sudah sebati dalam jiwanya.

Bercerita lebih lanjut mengenai hobinya itu, Maizon memberitahu beliau pernah terbabit kemalangan hingga tangannya patah, tetapi tragedi itu tidak mematahkan semangatnya untuk terus menunggang motosikal berkuasa tinggi.

  "Menunggang motosikal dapat memberi kepuasan kepada diri kerana dapat menghilangkan tekanan dan cepat sampai ke tempat kerja," katanya ketika ditemui ketika menyertai perhimpunan komuniti Yamaha R250 di Putrajaya, baru-baru ini.

Menabung beli motosikal

Rakannya, yang juga ahli Ladies Bikers Yamaha R250, Nadia Ammielyia Suhaimi, 29, berkata beliau berjinak dengan motosikal berkuasa tinggi sejak setahun lalu.

Nadia yang bertugas di bahagian pentadbiran sebuah syarikat swasta di Sri Damansara, berkata cintanya terhadap motosikal berkuasa tinggi menyebabkan beliau menabung untuk memiliki motosikal bernilai lebih RM30,000, yang lazimnya menjadi pilihan lelaki.

Wanita berjiwa kental berasal dari Kampung Pandan, Kuala Lumpur berkata, beliau sanggup mengorbankan keinginan lain demi untuk memiliki motosikal yang sudah lama diidamkan.

Beliau memperuntukkan lebih RM500  wang gajinya sebulan bagi penjagaan dan mencantikkan motosikal miliknya.

Katanya, antara kenangan pahit sepanjang berkecimpung dengan hobi itu, ialah pengalaman terlantar sebulan di hospital akibat terjatuh sendiri ketika menunggang motosikal, namun ia sedikit pun tidak melunturkan minatnya meneruskan hobi itu.

Nadia berkata, selain memudahkan berulang-alik ke tempat kerja, riadah itu juga dapat menambah kenalannya dalam kalangan peminat hobi yang sama.

Seorang kakitangan di Ibu Pejabat UMNO, Kuala Lumpur, Fariha Jamaluddin, 31, berkata sama seperti rakan lain, beliau menceburi bidang itu sejak setahun  lalu dan tidak ambil mudah mengenai pengendalian motosikal berkuasa tinggi.

Pentingkan keselamatan

Fariha berasal dari Kulai, Johor, berkata beliau mendapat tentangan daripada kedua-dua ibu bapa apabila mahu memilih hobi itu, namun berjaya meyakinkan mereka semua menerusi persiapan rapi sebelum menunggang.

"Penunggang perlu bijak dalam mengukur tahap kelajuan motor dengan jarak perjalanan sebagai langkah keselamatan jika sebarang perkara tidak diingini berlaku secara tiba-tiba.

"Kehadiran 'minah motor' yang semakin ketara di jalan raya, pada masa ini turut dialu-alukan penunggang lelaki apabila ramai daripada mereka menghulurkan bantuan ketika berhadapan masalah motosikal," katanya.

Maizon bersama suami berkongsi minat menunggang motosikal berkuasa besar.

Trending

    Disyorkan