Rabu, 24 Mei 2017 - 9:40PM
Waktu Solat Kuala Lumpur:

Penyelidik Perancis temui cara buka kunci WannaCry

FRANKFURT: Penyelidik Perancis menemui cara terakhir menyelamatkan fail Windows yang disulitkan WannaCry, ketika ransomware mengancam mengunci komputer mangsa dijangkiti seminggu lalu.

WannaCry, yang tersebar di seluruh dunia Jumaat lalu dan menjangkiti lebih 300,000 komputer di 150 negara, mengancam mengunci fail mangsa yang enggan membayar sejumlah AS$300 (RM1,296.15) hingga AS$600 (RM2,592.30) dalam tempoh seminggu selepas dijangkiti.

Sepasukan penyelidik keselamatan di seluruh dunia berkata, mereka bekerjasama membangunkan program atau sistem membuka kunci penyulitan bagi fail yang terjejas dalam serangan global, dan perkara itu disahkan beberapa penyelidik keselamatan bebas.

Namun penyelidik berkata, penyelesaian mereka hanya berkesan dalam situasi tertentu, jika komputer tidak dihidupkan semula sejak dijangkiti dan jika mangsa membaikinya sebelum WannaCry mengeluarkan ugutan mengunci fail mereka secara kekal.

Kumpulan itu termasuk Adrien Guinet, yang bekerja sebagai pakar keselamatan; Matthieu Suiche, penggodam antarabangsa terkenal dan Benjamin Delpy, yang membantu ketika lapang di luar waktu kerja di Banque de France.

"Kami tahu kami perlu pantas kerana ketika masa berlalu, kurang peluang untuk pulih," kata Delphy selepas malam kedua tanpa tidur membolehkannya mendedahkan cara berkesan menyahsulit WannaCry pada jam 6 pagi Paris hari ini.

Delpy menggelar alat percuma untuk menyahsulit komputer dijangkiti tanpa membayar wang tebusan sebagai 'wanakiwi.'

Suiche menerbitkan satu blog dengan butiran teknikal merumuskan secara ringkas apa yang dibangunkan kumpulan berkenaan menerusi laman web (https://goo.gl/iIFDZs) dan berusaha berkongsi dengan kakitangan teknikal organisasi terjejas akibat WannaCry.

Katanya, Wanakiwi segera diuji dan ditunjukkan berkesan ke atas Windows 7 dan versi lama Windows XP serta 2003, menambah beliau percaya cara itu berkesan ke atas Windows 2008 dan Vista.

"Kaedah itu berkesan dengan mana-mana sistem operasi daripada XP sehinggalah Win7," kata Suiche kepada Reuters menggunakan Twitter.

Delpy berkata, setakat ini agensi perbankan, tenaga dan sesetengah agensi perisikan kerajaan dari beberapa negara Eropah dan India menghubunginya berkaitan pembaikan itu.

Reuters

Pakar IT British Marcus Hutchins yang telah dijenamakan wira untuk melambatkan serangan siber global WannaCry, duduk di hadapan stesen kerja dalam satu temu bual di Ilfracombe, England, Isnin. - Foto AP

Trending

    Disyorkan