Jumaat, 19 Mei 2017 | 11:00pm

Pertumbuhan ekonomi Malaysia positif 2017


Naib Presiden dan Ketua Penyelidikan Runcit, Affin Hwang Investment Bank, Datuk Dr Nazri Khan Adam Khan. - Foto NSTP/Hafiz Sohaimi

KUALA LUMPUR: Kejayaan Malaysia mencatat pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) 5.6 peratus pada suku pertama tahun ini tertinggi dalam masa dua tahun.

Ia menggambarkan pemulihan ekonomi yang disifatkan dalam kalangan penganalisis akan terus bertahan sehingga akhir tahun ini.

Naib Presiden dan Ketua Penyelidikan Runcit, Affin Hwang Investment Bank, Datuk Dr Nazri Khan Adam Khan, berkata ekonomi negara semakin pulih dipacu oleh peningkatan eksport dan harga komoditi serta prestasi sektor pembuatan yang positif selepas mencatat pertumbuhan KDNK 4.2 peratus tahun lalu iaitu yang terendah sejak 2009.

"Saya boleh katakan tempoh buruk itu sudah berakhir," katanya.

Beliau optimis pertumbuhan ekonomi negara kekal tinggi untuk baki tempoh tahun ini biarpun berdepan kadar inflasi yang tinggi dan akan diterjemahkan dalam bentuk sentimen positif bagi pasaran saham.

Sementara itu, Profesor Ekonomi Fakulti Perniagaan Sunway University, Dr Yeah Kim Leng berkata, pertumbuhan suku pertama 2017 Malaysia itu juga lebih baik daripada jangkaan dan turut mengejutkan ramai pakar ekonomi dan penganalisis pasaran yang sebelum ini mengunjurkan angka KDNK di bawah 5.0 peratus.

"Kebanyakannya tidak menjangkakan kesan limpahan hasil eksport dan permintaan domestik, khususnya pertumbuhan perbelanjaan swasta yang kembali mencatat peningkatan sebanyak dua angka.

"Paling penting, kadar perbelanjaan swasta yang meningkat serta hampir kepada aliran pertumbuhan tetapi bukannya dalam lingkungan peningkatan secara terlalu mendadak," katanya.

Katanya, perkembangan positif lain menyaksikan kesemua sektor mencatat pertumbuhan positif dengan prestasi memberangsangkan manakala dua sektor utama di tahap lebih pantas iaitu perkhidmatan sebanyak 5.8 peratus dan pembuatan 5.6 peratus.

"Ini jelas satu permulaan yang baik untuk 2017 dengan momentum pertumbuhan kukuh dijangka berterusan untuk sekurang-kurangnya bagi dua hingga tiga suku akan datang.

"Pada masa sama, ini akan turut mendorong peningkatan unjuran pertumbuhan terutamanya bagi pertumbuhan tahun penuh pada julat 4.0 peratus hingga 5.0 peratus," katanya.

Sementara itu, Ketua Pakar Ekonomi MIDF Research, Dr Kamaruddin Mohd Nor, berkata angka pertumbuhan yang memberangsangkan itu menunjukkan bahawa perkembangan ekonomi Malaysia adalah secara meluas.

"Sektor bekalan, perkhidmatan, pembuatan, pembinaan, pertanian dan perlombongan yang mencatat prestasi lebih baik pada suku berkenaan khususnya pertanian yang sebelum ini merekodkan penurunan, didorong oleh pertumbuhan dua angka bagi minyak sawit dan getah," katanya.

Kamaruddin berkata, prestasi sektor pembuatan pula dipacu oleh peningkatan permintaan daripada luar.

"Kami menyasarkan momentum pertumbuhan semasa akan bertahan pada tempoh seterusnya untuk tahun ini. Sasaran KDNK bagi 2017 pula diunjur pada 4.9 peratus," katanya.

Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini mengumumkan ekonomi Malaysia mencatat pertumbuhan kukuh sebanyak 5.6 peratus pada suku pertama tahun ini berbanding 4.1 peratus pada suku yang sama pada 2016, susulan permintaan domestik dan perbelanjaan swasta yang kukuh.

Menurut bank pusat itu, prestasi berkenaan adalah yang terbaik sejak suku perbandingan sama pada 2015 yang menyaksikan KDNK pada 5.8 peratus.

BERNAMA

467 dibaca
Berita Harian X