Jumaat, 19 Mei 2017 | 10:51pm

U Wei pentas puisi Perjalanan Sang Zaman


PEMBACA puisi Malam Puisi SM Zakir: Perjalanan Sang Zaman.

KUALA LUMPUR: Puisi Penerima Anugerah SEA Write, Syed Mohd Zakir Syed Othman dipentaskan dalam Malam Puisi SM Zakir: Perjalanan Sang Zaman yang di Wisma Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM), Wangsa Maju di sini, malam ini.

Malam apresiasi buat penyair dan pengkritik yang tidak asing dalam ranah kesusasteraan itu dikareografi pengarah, U Wei Saari dan dipersembahkan oleh tokoh politik, pengarah, pelakon dan penyanyi terkenal tanah air.

Berlangsung selama dua hari bermula malam ini, kesemua mereka menyampaikan naskhah daripada Kumpulan Puisi Perjalanan Sang Zaman tulisan SM Zakir yang diterbitkan ITBM pada tahun 2015.

Selain SM Zakir yang membuka acara itu dengan pengucapan melalui puisi Perjalanan 1, turut serta dalam acara malam ini termasuk bekas Pengerusi Media Prima Bhd (MPB), Tan Sri Johan Jaaffar; Pengarah Urusan ITBM, Mohd Khair Ngadiron; dramatis, Khalid Salleh; penyanyi dan komposer, Datuk M Nasir serta pengarah dan pelakon, Melissa Saila.

Selain itu ialah Dr Saleeh Rahamad, Sabri Yunus, Adi Wangsa, Seri Amalina dan Yasmin Khairina, Adi Wangsa, Rebecca Ilham, Jalaini Abu Hassan, Morne Hashim, Dr Lawrence Nanthaniel Ross, Sani Sudin dan Adinda Amiro, Zaen Kasturi dan U Wei.

Esok, acara ini akan turut menampilkan Pengerusi ITBM yang juga Ahli Parlimen Sungai Besar, Budiman Mohd Zohdi; Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Prof Madya Dr Ramzah Dambul, K Azril Ismail dan Karim Ghulam.

Berita Harian X