Selasa, 23 Mei 2017 - 1:38AM
Waktu Solat Kuala Lumpur:

Kedah tak tertekan - Nidzam

Oleh Helmi Talkah dan Naqib Nor Said



NIDZAM Adzha Yusoff. - Foto Osman Adnan

SHAH ALAM: Nidzam Adzha Yusoff berkata, anak buahnya tidak menunjukkan sebarang tanda tertekan sepanjang persiapan bagi menghadapi aksi final Piala FA menentang Pahang di Stadium Shah Alam, malam esok.

Sebaliknya, jurulatih sementara Kedah itu memaklumkan barisan skuad Helang Merah kekal tenang dan bermotivasi tinggi bagi berdepan Pahang.

Katanya, kejayaan berada di perlawanan akhir Piala Malaysia sebanyak dua kali berturut-turut pada 2015 dan 2016 memberikan kelebihan buat pasukan itu.

"Apatah lagi beraksi di Stadium Shah Alam yang menyaksikan Kedah muncul juara Piala Malaysia musim lalu. Saya lihat pemain tidak terlalu tertekan kerana ini final ketiga dalam tempoh tiga tahun ini.

"Pemain juga sudah biasa dengan suasana final. Mereka juga selesa bermain di Stadium Shah Alam selain mentaliti mereka menganggap setiap perlawanan umpama final.

"Jadi untuk perlawanan esok, saya jangkakan tiada masalah. Malah, saya percaya pemain kali ini lebih matang dan mampu mengawal keadaan serta suasana yang dijangka dipenuhi ribuan penyokong dari kedua-dua pasukan nanti," katanya pada sidang media menjelang aksi final Piala FA di sini, hari ini.

Nidzam yang mengambil alih tugas Tan Cheng Hoe awal bulan ini dilihat berada pada di landasan terbaik untuk membawa Kedah meraih gelaran kedua musim ini selepas kejayaan memenangi Piala Sumbangsih awal musim.

Beliau mengharapkan anak didiknya dapat mendakap trofi berprestij itu yang turut menawarkan slot automatik ke saingan Piala AFC musim depan. 

"Kejayaan ke final ini sudah tentu tidak dijangka dan saya cukup bangga dengan pencapaian ini. Alang-alang dah ke final ini, sudah tentu saya mahu Kedah jadi juara," katanya.


Infografik

Trending

    Disyorkan