Rabu, 24 Mei 2017 - 9:52PM
Waktu Solat Kuala Lumpur:

Dollah akui Kedah ada kelebihan jadi juara

Oleh Helmi Talkah dan Naqib Nor Said



Ketua Jurulatih Pasukan Pahang, Dollah Salleh (kiri) bersama ketua pasukan Pahang, Matthew Davies (kanan) pada sidang media Perlawanan Akhir Piala FA 2017 di Stadium Shah Alam hari ini. - Foto BERNAMA

SHAH ALAM: Jurulatih Pahang, Dollah Salleh mengakui kelebihan memihak kepada Kedah berdasarkan pengalaman dimiliki majoriti barisan pemain pasukan itu menjelang aksi final Piala FA di Stadium Shah Alam, malam esok.

Bekas pengendali Harimau Malaya itu, berkata pengalaman barisan pemain skuad Helang Merah yang beraksi di pentas final Piala Malaysia pada 2015 dan 2016 sudah pasti menjadi azimat buat pasukan berkenaan.

Begitupun, dengan kualiti dimiliki barisan pemain Pahang belum tetap yakin Tok Gajah mampu melakukan sesuatu bagi mengekang Kedah sekali gus membawa pulang trofi  Piala FA.

"Pemain yang ada dalam pasukan sekarang sudah bersama selama dua hingga tiga tahun dan sudah pasti keserasian mereka semakin mantap. 

"Apa lagi pemain yang sama juga sudah beraksi di pentas final (Piala Malaysia) sebanyak dua kali berturut-turut. Untuk itu saya fikir pengalaman bukan lagi masalah buat mereka. 

"Berbanding Pahang, kami ada segelintir pemain muda yang mempunyai bakat dan kemahiran individu dan boleh beraksi di peringkat tertinggi. Cuma, pengalaman bermain di pentas final itu yang tiada.

"Namun, saya sudah ingatkan kepada pemain Pahang yang kita tidak perlu terlalu menghormati pasukan lawan. Bermain seperti biasa," kata Dollah ketika sidang media menjelang aksi fina Piala FA di sini, hari ini.

Final kali ini adalah pentas final kali keempat buat skuad Tok Gajah dan dua kali berjaya menjadi juara iaitu pada 2006 dengan menewaskan Perlis 4-2 menerusi penentuan penalti (selepas terikat 0-0 sehingga tamat masa tambahan) dan 2014 dengan menumbangkan FELDA United 2-1.


Infografik

Trending

    Disyorkan