Jumaat, 19 Mei 2017 | 7:06pm

Kapten Tok Gajah impi cipta sejarah


Dari kiri; Kapten Kedah, Khairul Helmi Johari, Pemangku Jurulatih Kedah, Nidzam Adzha,Ketua Pasukan Pahang, Dollah Salleh dan Kapten pasukan Matthew Davies bergambar bersama di Stadium Shah Alam menjelang perlawanan akhir Piala FA 2017 esok. - Foto NSTP/Osman Adnan

SHAH ALAM: Matthew Davies mengintai peluang mencipta sejarah peribadi dengan menjadi kapten paling muda menjulang trofi Piala FA apabila mengetuai barisan Tok Gajah pada aksi final melawan Kedah di Stadium Shah Alam, malam esok.

Tonggak pertahanan kanan Pahang berusia 22 tahun itu, berkata ia akan menjadi sesuatu yang menakjubkan andai ia menjadi kenyataan apatah lagi aksi final esok adalah penampilan pertama  sepanjang kerjayanya.

"Ia adalah sesuatu yang menakjubkan jika saya menjadi kapten paling muda menjulang trofi Piala FA. Namun, itu bukanlah keutamaan kerana apa yang paling penting adalah memastikan kejayaan buat pasukan Pahang.

"Ini adalah penampilan pertama saya di pentas final... ada sedikit perasaan gementar tetapi dalam masa sama turut berbangga kerana berjaya membantu Pahang melangkah sehingga ke final. 

"Berdasarkan pengalaman saya di pentas antarabangsa dan bersama Pahang, saya harap dapat memberikan aksi terbaik bagi membantu pasukan merealisasikan misi menjadi juara," kata pemain kelahiran Perth, Australia itu ketika sidang media menjelang aksi final di sini, hari ini.

Matthew mengakui agak terkejut dengan kejayaan Tok Gajah melangkah ke final musim ini terutama apabila menyaksikan mereka bergelut sepanjang saingan musim lalu.

"Jika melihat kembali apa yang kami lalui sepanjang saingan musim lalu, ini adalah boleh dianggap pencapaian yang membanggakan.

Kehadiran jurulatih, Dollah Salleh membawa banyak perubahan kepada pasukan.

"Walaupun saya masih muda, namun berdasarkan senioriti saya sudah tiga tahun bersama Pahang.

"Kami mempunyai barisan pemain yang berkualiti dan tiada alasan untuk kami tidak boleh memberikan cabaran bagi memastikan gelaran juara Piala FA musim ini menjadi milik Pahang," katanya.

Berita Harian X