Jumaat, 19 Mei 2017 | 6:08pm

AADK tahan 24 penagih dadah


ANGGOTA AADK melakukan tangkapan ke atas beberapa individu dipercayai penagih dalam operasi selama dua hari sekitar Kubang Pasu, Alor Setar, hari ini. - Foto ihsan AADK

ALOR SETAR: Seramai 24 lelaki termasuk dua wanita ditahan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) selepas didapati positif dadah dalam Operasi Cegah di sekitar daerah Kubang Pasu di sini hari ini.

Pengarah AADK Kedah, Mohammad Nazer Mustafa, berkata operasi membabitkan seramai 20 pegawai dilakukan sekitar Ayer Hitam, Padang Sera, Kodiang dan Wang Tepus selama dua hari bermula semalam.

"Mereka ini terdiri daripada 22 lelaki dan dua wanita yang berusia antara 19 hingga 50 tahun.

"Serbuan dilakukan secara rambang di lokasi yang dikenalpasti sebelum menahan mereka yang positif dadah selepas menjalani ujian saringan air kencing.

"Pemeriksaan ke atas semua yang ditahan, AADK tidak menemui sebarang jenis dadah," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mohammad Nazer berkata, operasi itu bertujuan untuk membendung masalah penagihan dadah di daerah ini dalam usaha kerajaan untuk mengurangkan penagih dadah di negara ini.

"Semua yang ditahan akan disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983," katanya.

Berita Harian X