Rabu, 24 Mei 2017 - 9:48PM
Waktu Solat Kuala Lumpur:

Yuna artis Malaysia pertama dicalonkan pada BET

Oleh Zaidi Mohamad



PENYANYI yang kini menempa nama di Amerika Syarikat (AS), Yuna. - NSTP

KUALA LUMPUR: Penyanyi yang kini menempa nama di Amerika Syarikat (AS), Yuna, 30, mengakui cukup teruja apabila menjadi artis Malaysia pertama dicalonkan pada Anugerah BET atau Black Entertainment Television 2017.

Pada anugerah itu, Yuna dicalonkan dalam kategori BET Centric Award menerusi lagu Crush, iaitu duetnya bersama bintang terkenal AS, Usher, yang dipetik daripada album terbaru beliau, Chapters.

Anugerah BET ialah acara tahunan bagi meraikan bakat golongan Afrika Amerika dan minoriti lain dalam pelbagai lapangan seni dan sukan.

"Saya berasa sangat gembira dan teruja dengan pencalonan ini. Akhirnya lagu Crush dapat juga dicalonkan pada BET yang menjadi anugerah muzik R&B dan soul berprestij di AS," katanya kepada BH Online.

Dalam kategori berkenaan, Yuna berentap dengan calon hebat seperti Mary J Blige menerusi lagu Thick Of It, Fantasia (Sleeping With The One I Love), Solange (Cranes In The Sky), Kehlani (Distraction) dan Syd (All About Me).

"Saya sememangnya meminati semua calon yang berentap dengan saya kali ini. Lagu dendangan mereka juga sangat bagus. Saya bangga dan gembira dapat dicalonkan bersama-sama mereka pada anugerah ini," katanya yang berazam mencari peluang untuk berduet lagi dengan Usher pada masa akan datang.

Yuna bagaimanapun memberitahu, ketika ini beliau berkemungkinan besar tidak dapat memeriahkan acara terbabit yang akan berlangsung pada 25 Jun depan di Los Angeles.

"Jika dapat hadir pada acara itu, saya berharap untuk menggayakan rekaan pereka Amerika keturunan Nepal, Prabal Gurung," katanya yang kini dalam proses merakamkan album baharu selain merancang siri jelajah di AS buat kesekian kalinya.


Trending

    Disyorkan