Jumaat, 19 Mei 2017 | 5:13pm

MODENAS perkenal 3 model baharu


MOHD Khamil (tiga dari kanan) bersama Abdul Harith (dua dari kiri), Amirudin (tiga dari kiri) dan Rakesh (kanan) ketika melancarkan tiga model baharu MODENAS di Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam, hari ini.

SHAH ALAM: Motosikal dan Enjin Nasional (MODENAS) memperkenalkan tiga model baharu dalam segmen jalanan dan cruiser sport.

Pengenalan model baharu iaitu PULSAR NS200 (naked street bike), PULSAR RS200 (race bike) dan V15 (cafe racer) adalah hasil kerjasama dengan pengeluar motosikal dari India, Bajaj Auto Ltd (BAL).

Ia dilancarkan oleh Pengerusi DRB- HICOM Bhd, Tan Sri Dr Mohd Khamil Jamil dan Presiden Perniagaan Antarabangsa BAL, Rakesh Sharma di sini, sebentar tadi.

PULSAR NS200 dijual pada harga RM8,700; PULSAR RS200 RM10,700; dan V15 RM5,650.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Operasi Automotif, Kejuruteraan, Pembuatan dan Pengedaran Pengedaran DRB-HICOM, Datuk Abdul Harith Abdullah; serta Ketua Pegawai Eksekutif MODENAS, Amirudin Abdul Kadir.

Kedua-dua model PULSAR NS200 dan RS200 masing-masing dijana oleh enjin 199cc, SOHC, 4 lejang, penyejuk cecair, suntikan bahan api silinder tunggal dan tiga palam pencucuh digital.

Ia didatangkan dengan transmisi enam kelajuan dengan menghambur kuasa maksimum 23.5 PS (NS200) dan 24.5 PS (RS200) pada 9,500 rpm serta tork masing-masing pada 18.6Nm dan 18.3Nm pada 8,000 rpm.

PULSAR NS200 direka supaya tampak lebih sasa serta agresif selain didatangkan dengan skema warna serta grafik dua tona.

PULSAR RS200 pula bersifat lebih aerodinamik dan dibentuk supaya lebih stabil pada kelajuan tinggi.

Ia bakal menjadi menjadi motosikal bersaiz penuh pertama di Malaysia menggunakan sistem Brek Anti-Kunci (ABS) saluran tunggal bagi memastikan keselamatan dan kestabilan walaupun pada kelajuan tinggi.

Sementara itu, model V15 ditawarkan dengan enjin 150cc dan palam pencucuh berkembar digital.

Ia menggabungkan elemen terbaik neo klasik, keselesaan serta kuasa dan tork yang tepat bagi menghasilkan pengalaman tunggangan sempurna dengan kuasa maksimum 12PS pada 7,500 rpm dan tork 13Nm pada 5,500 rpm.

Info:

PULSAR NS200

* Harga jualan RM8,700

* Enjin 199cc

* SOHC, 4 lejang, penyejuk cecair, suntikan bahan api silinder tunggal dan tiga palam penghidup digital

* Kuasa 23.5 PS @ 9,500 rpm

* Tork 18.6 Nm @ 8,000 rpm

PULSAR RS200

* Harga jualan RM10,700

* Enjin 199cc

* SOHC, 4 lejang, penyejuk cecair, suntikan bahan api silinder tunggal dan tiga palam penghidup digital

* Kuasa 24.5 PS @ 9,500 rpm

* Tork 18.3 Nm @ 8,000 rpm

V15

* Harga jualan RM5,650

* Enjin 150cc

* Palam pencucuh berkembar digital

* Kuasa 12 PS @ 7,500 rpm dan tork 13Nm @ 5,500 rpm

Berita Harian X