Jumaat, 23 Jun 2017 - 6:06AM
Waktu Solat Kuala Lumpur:

PRK Pujut: BN Sarawak bersedia sepenuhnya

Oleh Mohd Roji Kawi



PENGERUSI BN negeri, Datuk Amar Abang Johari Abang Openg. - Foto Che Rani Che Din

PETRA JAYA:  Barisan Nasional (BN) Sarawak dijangka mengumumkan calon bagi menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Pujut, awal bulan depan.

Pengerusi BN negeri, Datuk Amar Abang Johari Abang Openg berkata, pihaknya akan mengadakan mesyuarat khas selepas perayaan Gawai Dayak yang akan disambut 1 Jun ini.

"Siapa calon dan dari parti mana hanya akan diketahui selepas mesyuarat itu, tetapi ketika ini saya mahu memberi tumpuan kepada persidangan Dewan Undangan Negeri yang sedang berlangsung.

"Bagaimanapun, kami sebenarnya sudah bersedia sepenuhnya (untuk menghadapi PRK). Sebaik sahaja Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) umumkan tarikh, kami sudah melengkapkan diri," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di pejabatnya di Kompleks DUN Sarawak di sini, hari ini.

Abang Johari bagaimanapun enggan memberi bayangan calon dari parti mana yang akan mewakili BN.

Pengerusi SPR, Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah selepas mesyuarat hari ini mengumumkan 20 Jun sebagai tarikh penamaan calon dan 4 Julai sebagai tarikh pengundian bagi PRK Pujut.

Kerusi Pujut kosong berikutan wakil rakyatnya dari DAP, Dr Ting Tiong Choon dipecat DUN Sarawak Jumaat lalu kerana memiliki dua kewarganegaraan.


Trending

    Disyorkan