Jumaat, 19 Mei 2017 | 4:50pm

BN tidak terbabit kemelut politik di Selangor


DATUK Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berucap pada Program Timbalan Perdana Menteri Bersama Warga Universiti Teknologi MARA (UiTM) di Shah Alam, hari ini. - Foto Roslin Mat Tahir

SHAH ALAM: Barisan Nasional (BN) tidak berminat untuk terbabit dalam kemelut politik yang berlaku dalam pentadbiran kerajaan Selangor ketika ini, kata Timbalan Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. 

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, BN menghormati Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959 dan kuasa yang terletak kepada Sultan Selangor. 

"BN tidak berhasrat untuk analisis apa yang berlaku di Selangor. BN lebih berminat untuk memastikan jentera BN pastikan ekosistem yang berubah ini digunakan sebaiknya untuk BN kembali mendakap Selangor. 

"Kita perlu lihat usaha Noh (Pengerusi Perhubungan BN Selangor, Tan Sri Noh Omar) dan rakan pemimpin lain untuk lakukan usaha berterusan bagi dakap semula negeri ini," katanya pada sidang media selepas menghadiri Program Timbalan Perdana Menteri Bersama Warga Universiti Teknologi MARA (UiTM) di sini, hari ini. 

Hadir sama Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh; Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar dan Naib Canselor UiTM, Prof Emeritus Datuk Dr Hassan Said. 

Ahmad Zahid diminta mengulas mengenai hubungan 'tahaluf siyasi' yang sudah terputus antara PAS dan PKR. 

Sebelum ini, Majlis Syura Ulama PAS membuat keputusan membatalkan 'tahaluf siyasi' PAS bersama PKR. 

Namun, kedudukan tiga EXCO PAS di Selangor kekal tanpa perlu meletakkan jawatan sehingga diputuskan Sultan Selangor selaras peruntukan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959. 

Ketetapan dibuat berdasarkan Perkara 53 Fasal 7 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959 bahawa seseorang EXCO selain Menteri Besar Selangor perlu memegang jawatan selama diperkenan Sultan Selangor.

26 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »