Jumaat, 19 Mei 2017 | 3:22pm

Siasatan pelajar tahfiz dipukul warden selesai


KETUA Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Shafien Mamat (kanan) pada sidang media di Shah Alam, hari ini. - Foto Faiz Anuar

SHAH ALAM: Siasatan berhubung kes pukul membabitkan seorang pelajar sebuah pusat tahfiz di sini akan dihantar ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan selanjutnya.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Shafien Mamat, berkata kertas siasatan kini lengkap selepas tujuh saksi termasuk warden yang didakwa memukul pelajar berkenaan, dipanggil memberi keterangan.

Polis selesai menjalankan siasatan terhadap tujuh saksi susulan kejadian seorang pelajar di pusat tahfiz mendakwa dipukul hingga cedera oleh seorang warden asrama.

"Warden itu ditahan pada hari sama dia memberi keterangan dan dibebaskan dengan jaminan polis sehari berikutnya," katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Shafien berkata, mangsa yang juga pelajar tingkatan satu itu sudah berhenti dari pusat tahfiz berkenaan selepas laporan polis dibuat bapa mangsa pada 10 Mei lalu.

Katanya, kes diklasifikasikan semula mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan iaitu sengaja menyebabkan cedera menggunakan senjata dan lain-lain benda yang berbahaya.

Sebelum ini, kes itu disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan atas kesalahan sengaja menyebabkan kecederaan.

Kejadian didakwa berlaku pada jam 5 petang, 10 Mei lalu, ketika mangsa dipanggil untuk berjumpa warden yang juga guru agama pusat tahfiz itu.

51 dibaca
Berita Harian X