Jumaat, 19 Mei 2017 | 3:22pm

Penjaga parkir HKL parah dibelasah

KUALA LUMPUR: Seorang penjaga parkir bertingkat Hospital Kuala Lumpur (HKL) cedera parah dibelasah sekumpulan 10 lelaki termasuk pemilik sebuah kereta yang berang tayar kenderaannya dikapit kerana menghalang kenderaan lain, malam semalam.

 

Dalam kejadian sekitar jam 7 malam, mangsa mengapit tayar kereta jenis PERODUA Axia, selepas kenderaan itu diletakkan dalam keadaan menghalang kenderaan lain untuk keluar dari kawasan itu.

 

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohd Sukri Kaman, berkata pemilik kereta datang sejam selepas tayar keretanya dikapit bersama sembilan lagi rakan-rakannya bertemu mangsa.

 

"Mangsa dilaporkan dipukul secara bertubi-tubi oleh pemilik kereta dan rakan-rakannya sehingga menyebabkan dia cedera di kepala, muka, kaki dan tangan.

 

"Hasil siasatan awal mendapati, pemilik kereta dan rakannya memukul mangsa kerana tidak berpuas hati akibat tayar keretanya dikapit," katanya dalam satu kenyataan.

 

Setakat ini pihak polis sudah mengenal pasti seorang suspek dipercayai pemilik kereta berkenaan berdasarkan semakan nombor pendaftaran kereta berkenaan.

 

Dia dijangka menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, petang ini dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan atas kesalahan melakukan rusuhan.

146 dibaca
Berita Harian X