Jumaat, 19 Mei 2017 | 12:04pm

2,207 bungkus daun ketum dirampas


BUNGKUSAN daun ketum yang dijumpai disimpan dalam kereta dinaiki dua lelaki di Kampung Jerek, Batu Melintan, dekat Jeli. - Foto ihsan PDRM

JELI: Kelicikan dua lelaki yang cuba menyeludup masuk 2,207 bungkus daun ketum bernilai RM22,000, tumpas apabila mereka ditahan polis, malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 9 malam itu, kedua-kedua suspek berusia 20an yang menaiki Toyota Wish ditahan selepas cuba mengelak sekatan jalan raya oleh pihak berkuasa di Kampung Jerek, Batu Melintang, di sini.

Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Yusoff Jaafar, berkata suspek dari arah Gerik, Perak ke Jeli memandu dalam keadaan mencurigakan sebelum dengan tiba-tiba memasuki sebuah simpang ke Kampung Jerek, sebaik mereka terlihat sekatan jalan raya.

Bagaimanapun, katanya, anggota polis yang berada di kawasan berhampiran berjaya menahan kenderaan dinaiki suspek di kampung berkenaan.

"Hasil pemeriksaan, polis menemui 2,207 bungkus daun ketum yang diletakkan di bahagian belakang kenderaan terbabit.

"Siasatan awal pihak kami mendapati kedua-dua suspek yang berasal dari Kampung Peringat, Kota Bharu memperoleh bekalan daun ketum berkenaan dari Baling, Kedah untuk dipasarkan di Kota Bharu serta kawasan sekitar.

"Harga pasaran kini mencecah RM10 sebungkus dan nilai rampasan dianggarkan kira-kira RM22,000," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Katanya, kedua-dua suspek ditahan reman selama empat hari bermula semalam bagi membantu siasatan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952 dan jika didapati bersalah boleh dipenjara tidak melebihi empat tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua duanya sekali," katanya.

Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »