Jumaat, 19 Mei 2017 | 10:59am

Kes rempuh pejalan kaki tiada kaitan keganasan


BILL de Blasio ketika sidang media di Times Square, New York, hari ini. - Foto AFP

NEW YORK: Seorang wanita maut dan 22 lagi cedera apabila seorang bekas anggota Tentera Laut Amerika Syarikat (AS), Richard Rojas, 26, yang memandu kereta merempuh orang ramai di laluan pejalan kaki di Times Square, New York, hari ini.

Menurut saksi, suspek tiba-tiba memecut di kawasan pejalan kaki, merempuh orang ramai sebelum melanggar tiang dan berhenti di 45th Street dan Broadway di Midtown Manhattan pada jam 12 tengah hari waktu tempatan.

Mangsa yang terbunuh dikenal pasti sebagai Alyssa Elsman, 18, pelajar dari Michigan yang sedang bercuti bersama keluarganya di sini.

Pengawal dari restoran Planet Hollywood dan ejen penjual tiket berdekatan, adalah antara yang membantu polis menahan suspek apabila dia cuba melarikan diri dari tempat kejadian, lapor media.

Polis berkata, Rojas berasal dari Bronx dan pernah dua kali ditangkap kerana mabuk ketika memandu pada 2008 dan 2015 serta berkelakuan ganas pada awal tahun ini.

Bagaimanapun, kejadian itu tiada kaitan dengan tindakan keganasan, kata Datuk Bandar, Bill de Blasio pada sidang media di tempat kejadian. - REUTERS

Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »