Rabu, 24 Mei 2017 - 9:37PM
Waktu Solat Kuala Lumpur:

Tiada wakil PAS di Kongres Nasional Tahunan Keadilan

Oleh Nazura Ngah



SETIAUSAHA Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan. - Foto Zaman Huri Isa

KUALA LUMPUR: PAS tidak akan menghantar wakil mereka ke Kongres Nasional Tahunan Keadilan yang berlangsung di Dewan Raja Musa, Seksyen 7, Shah Alam, Ahad ini.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan, berkata pihaknya menerima jemputan daripada kepemimpinan PKR untuk hadir ke perhimpunan tahunan parti itu tetapi belum mengemukakan jawapan balas secara rasmi.

Beliau berkata, tindakan itu diambil bertujuan menenangkan keadaan serta menghormati majlis PKR berikutan Majlis Syura Ulama PAS sudah memuktamadkan keputusan memutuskan tahaluf siyasi dengan PKR yang diluluskan dalam muktamar tahunan PAS akhir bulan lalu.

"Tindakan untuk tidak menghadiri Kongres Nasional Tahunan Keadilan, Ahad ini adalah selaras dengan ketetapan Majlis Syura Ulama PAS," katanya ketika ditemui pemberita di Ibu Pejabat PAS, di sini, hari ini.

Bagaimanapun, Takiyuddin yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu menegaskan keputusan MSU itu tidak menjejaskan hubungan persahabatan antara pemimpin PAS dan PKR.

"Bukan bermakna kami putus kawan, hanya kerjasama politik saja yang terbatal," katanya.

Kongres Nasional Tahunan Keadilan bermula dengan persidangan sayap, Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Wanita PKR yang akan dirasmikan serentak oleh Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali merangkap Menteri Besar Selangor di Auditorium Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), esok.


Trending

    Disyorkan