Khamis, 18 Mei 2017 | 3:25pm

150 produk, teknologi dikomersialkan - MOSTI


MENTERI Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau. - Foto Hafiz Sohaimi

KUALA LUMPUR: Sebanyak 150 produk dan teknologi dengan nilai RM155 juta berjaya dikomersialkan melalui inisiatif Tahun Pengkomersialan Malaysia (MCY) Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) pada tahun lalu.

Antara produk dan teknologi dikomersialkan termasuk basikal elektrik, pengesan glukosa untuk aplikasi bioperubatan dan sistem perlindungan data.

Menterinya, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau, berkata Malaysia mempunyai kekuatan dalam industri penyelidikan dan inovasi.

"Masyarakat Malaysia amat inovatif dan hasil penyelidikan projek oleh penerima pembiayaan dana kami, mereka berjaya menghasilkan pelbagai produk, teknologi serta inovasi.

"Jadi, kita mahu mereka memikirkan ke arah pengkomersialan secara global bagi produk mereka," katanya pada sidang media program MCY2.0 di Taman Teknologi Malaysia, di sini, pagi tadi.

Turut hadir, Ketua Setiausaha MOSTI, Datuk Dr Mohd Azhar Yahaya; Ketua Pengarah Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), Datuk Shamsiah Kamaruddin dan Setiausaha Bahagian Kanan (Dana dan Pengkomersialan R&D) MOSTI, Suhaimi Hamzah.

Menerusi dana MOSTI di bawah Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMKe-10), RM628.26 juta disalurkan bagi 1,732 projek penyelidikan untuk segmen sains, teknologi dan inovasi (S,T&I).

MCY2.0 bagi tahun ini hingga 2019 memfokuskan kepada inisiatif memastikan hasil penyelidikan, pembangunan dan inovasi (R,D&I) dapat komersialkan.

Majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) antara MOSTI dan MyIPO serta penyampaian sijil penghargaan kepada 69 penerima dana MOSTI (RMKe-10) turut diadakan.

Sementara itu, Mohd Azhar berkata, sebanyak 222 produk dan teknologi daripada pelbagai agensi kerajaan, selain institusi penyelidikan tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS) dicalonkan untuk MCY2.0.

"Daripada jumlah itu, 167 produk dan teknologi mempunyai potensi dikomersialkan dan 105 pula akan dikomersialkan pada tahun ini," katanya.

56 dibaca
Berita Harian X