Rabu, 24 Mei 2017 - 9:52PM
Waktu Solat Kuala Lumpur:

3 EXCO PAS Selangor kekal - Tuan Ibrahim

Oleh Nazura Ngah



DATUK Tuan Ibrahim Tuan Man. - Foto Hafiz Sohaimi

KUALA LUMPUR: Kedudukan tiga EXCO PAS di Selangor kekal tanpa perlu meletakkan jawatan sehingga diputuskan Sultan Selangor selaras peruntukan dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959.

Ketetapan yang diputuskan dalam mesyuarat khas Jawatankuasa Kerja PAS Pusat di sini hari ini itu dibuat berdasarkan Perkara 53 Fasal 7 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959 bahawa seseorang EXCO selain Menteri Besar Selangor hendaklah memegang jawatan selama yang diperkenan oleh Sultan Selangor.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata sementara menunggu perkembangan lanjut termasuk menunggu keputusan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang kini berada di luar negara, tiga EXCO berkenaan akan meneruskan tugas pentadbiran seperti biasa.

Beliau turut menafikan laporan sebuah akhbar berbahasa Inggeris bahawa kepemimpinan Pusat mengarahkan 13 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor meletakkan jawatan.

"Saya menafikan ada arahan untuk meletak jawatan atau keluar kerajaan, laporan media hari ini juga dinafikan oleh Pesuruhjaya PAS Selangor, (Sallehen Mukhyi) dalam mesyuarat baru diadakan dan beliau tidak mengeluarkan sebarang arahan," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat khas berkenaan.

Kelmarin, PKR mengarahkan semua lantikan politik dari parti itu dalam pentadbiran Kerajaan Kelantan melepaskan jawatan mereka serta-merta.

Perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Biro Politik PKR dipengerusikan Presidennya, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Sementara itu, Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan, berkata peruntukan dalam undang-undang tubuh negeri itu adalah jelas dan PAS akan membuat ketetapan lain berdasarkan keputusan akan datang.


Trending

    Disyorkan