Rabu, 28 Jun 2017 - 8:28PM
Waktu Solat Kuala Lumpur:

Hargai jasa guru bimbing modal insan

Oleh Dr Aminudin Mansor



GAMBAR hiasan. - Foto Amran Hamid

SETIAP guru memainkan peranan penting dalam pengajaran dan pembelajaran (PdP) di dalam kelas bagi membentuk akhlak dan jiwa pelajar ke arah akhlak terpuji dan disiplin yang baik bagi membina negara bangsa. Tarikh 16 Mei disambut sebagai Hari Guru, dan tema Hari Guru 2017 ialah 'Guru Pembina Negara Bangsa'.

Peranan guru dalam membentuk sahsiah pelajar yang baik dan cemerlang boleh dilakukan sebelum, semasa atau selepas PdP. Bimbingan ilmu dengan akhlak mulia dengan bijaksana dan berdisiplin akan membentuk pelajar menjadi pemimpin berwibawa pada masa depan.

Negara yang maju memerlukan bangsa berilmu pengetahuan luas dan berkemahiran tinggi. Pembinaan pelajar ke arah ini memerlukan kerjasama erat antara ibu bapa dan guru bagi memacu kecemerlangan negara.

Seorang guru bukan sahaja pendidik di dalam kelas, tetapi juga pembimbing ke arah membentuk peribadi luhur dan unggul. Guru bukan sahaja menyampaikan ilmu pengetahuan tetapi wajar mendidik peribadi mulia pelajar ke arah peribadi unggul.

Guru juga menjadi penasihat dan pembimbing pelajar mengenai hal yang bersangkutan dengan sahsiah, nilai budaya dan murni. Sesungguhnya, guru yang mempunyai sahsiah tinggi bukan sahaja dapat menyampaikan pelajaran dengan berkesan bahkan dapat menawan hati pelajar. Guru juga penasihat berkesan membimbing pelajar ke arah kebaikan. Pendek kata, peranan guru cukup besar dalam membentuk akhlak, disiplin dan nilai murni pelajar.

Guru adalah unsur penting dalam dunia pendidikan dan mempunyai pengaruh besar terhadap keberkesanan sesuatu pendidikan. Keperibadian dan amalan pengajaran guru mempunyai pengaruh besar kepada minda, akhlak dan jiwa pelajar. Pada usia muda mereka akan melihat dan mengikuti segala tingkah laku, pergerakan, perbuatan dan perkataan guru.

Kes pelajar berang kerana tidak dapat mengawal emosi dan mengugut guru serta terbabit dengan gengsterisme tidak sepatutnya berlaku. Begitu juga kes pelajar melawan guru tidak harus berlaku di sekolah. Guru adalah pembimbing dan penyampai ilmu yang sepatutnya dihormati sepanjang hayat.

Sekolah adalah tempat mendidik akal budi dan disiplin pelajar. Justeru, guru perlu berusaha meletakkan diri mereka pada kedudukan terbaik dan terhormat dalam kalangan pelajar bagi menimbulkan rasa hormat mereka terhadapnya dalam suasana penuh kasih sayang.

Kebijaksanaan guru

Kebijaksanaan guru mesti ada dalam mendidik disiplin pelajar. Tokoh pendidik dan tokoh Islam, Syed Mohd Al Naquib Al-Attas pernah berkata, guru memerlukan sikap kehidupan dan pembawa. Antaranya sifat yang wajib dimiliki guru ialah sifat zuhud (mendidik kerana mencari keredaan Allah), kebersihan hati dan diri, keikhlasan dalam bekerja, mempunyai sifat alim, guru perlu menjaga kehebatan dan kehormatan diri, guru sebagai ibu bapa ketika menghadapi setiap pelajarnya dan guru mempunyai kemampuan dalam keilmuan.

Oleh itu, pada setiap kesempatan pada awal dan akhir PdP, guru boleh memberikan nasihat dan bimbingan kepada pelajar mengenai akhlak dan memperkasa jiwa. Antaranya, melalui nasihat yang baik, bercerita, kata-kata hikmat, petikan hadis, kata-kata daripada tokoh negara, tokoh agama dan sebagainya.

Sebagai contoh kata-kata daripada guru seperti: "Saya amat gembira melihat kamu tidak mahu bercakap yang tidak baik. Wahai anak-anak didik ku! Tuhan melihat apa yang kita buat dan kerjakan, buatlah kebaikan dalam hidupmu. Janganlah kamu mengabaikan solat. Kerjakan solat lima waktu, pada awal waktu, jangan melambat-lambatkan dan selalulah beribadat kepada Allah SWT. Saya adalah guru kamu, nasihat saya, sentiasalah kamu berakhlak mulia dan berjiwa perkasa".

Begitu kata-kata menjadi inspirasi dan motivasi yang bererti. Kata-kata seumpama ini akan memberi rangsangan dan dorongan ke arah kebaikan kepada pelajar. Banyak cara dan kaedah yang dapat mendidik pelajar ke arah kebaikan melalui kata-kata nasihat dan juga bimbingan.

Ada pelajar berminat mendengar kata-kata daripada kata hikmat tokoh berwibawa daripada pelbagai bidang yang terkenal. Kata-kata ini boleh ditulis di papan tulis bagi kefahaman pelajar. Sebagai contoh; Prof Dr Hamka pernah berkata: "Guru melatih jiwa pelajar supaya berjiwa besar, dan berfaedah sangat besar, selepas besar."

Sesungguhnya guru mampu melahirkan pelajar ke arah pembina negara bangsa berilmu pengetahuan dan berakhlak mulia.

* Pengamal Media Persuratan Melayu Universiti Kebangsaan


Trending

    Disyorkan