Khamis, 18 Mei 2017 | 9:41am
AWANGKU Muhammad Adibul Amin Pengiran Marjuki, Naib Johan Tilawah tahun lalu.

Cacat penglihatan tak halang wakil Sudan ambil bahagian


SARA (kanan) dibantu pegawai pengiring, Muna Munirah Abu Bakar mendengar ayat Al-Quran menggunakan telefon pintar di Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR: Buta akibat glaukoma ketika usia 15 tahun tidak menghalang wanita Sudan, Sara Eltahir Elhadi Mohammed, mengambil bahagian dalam Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) Ke-59, di sini.

Wanita berusia 27 itu menjadi tumpuan ramai sebagai peserta orang kurang upaya (OKU) cacat penglihatan pertama mewakili negaranya selain, yang pertama menyertai tilawah al-Quran peringkat antarabangsa.

Mengakui berjaya khatam al-Quran dalam masa 10 bulan ketika berusia 13 tahun, Sara berkata beliau tidak menggunakan al-Quran Braile tetapi kaedah pendengaran.

"Selepas Subuh, saya akan mendengar bacaan surah al-Quran imam Masjidil Haram, Sheikh Abdul Rahman Al-Sudais yang disimpan dalam telefon bimbit saya, setiap hari.

"Seterusnya, saya akan menghafaz surah berkenaan dalam masa sekurang-kurangnya lima jam setiap hari. Biasanya, saya mudah menghafaz surah selepas mengamalkannya dalam solat.

"Bagi menghafaz surah lebih panjang, banyak masa diperlukan termasuk mengulang bacaan ketika melakukan kerja harian seperti memasak," katanya kepada BH.

Sara berkata beliau turut mendapat khidmat Madrasah Al Utrujah, Sudan dan gurunya, Sheikh Ikhlas Syaima untuk mendengar dan memperbetulkan bacaannya.

Jalani 3 peringkat hafazan

Pegawai Ekologi itu berkata, beliau menjalani tiga peringkat hafazan iaitu menghafal 15 juzuk, seterusnya menghafal 30 juzuk dan menghafal 30 juzuk berserta tafsiran.

Beliau turut mengamalkan kaedah bacaan Hafz dan taranum bacaan Warsh, bagi memperlengkapkan kemerduaan suara ketika mengalunkan bacaan al-Quran.

Ketika ditanya cabaran menghafaz ketika kehilangan penglihatan, Sara berkata keadaan itu tidak pernah menyusahkannya sebaliknya, membahagiakannya kerana beroleh manfaat ketenangan fikiran, menjemput rezeki serta meningkatkan kesyukuran kepada pencipta-Nya.

"Saya paling gemar surah Al-Baqarah, di dalamnya terkandung pelbagai kisah sebagai pengajaran antaranya, perintah mengerjakan solat, menunaikan zakat, hukum puasa, haji dan umrah, halal dan haram, hutang piutang, kewajipan menyampaikan amanat dan hukum perang," katanya.

Guna pengalaman ditimba

Sementara itu, Naib Johan Tilawah tahun lalu, Awangku Muhammad Adibul Amin Pengiran Marjuki, 29 yang juga pegawai di Kementerian Kewangan Brunei, mengakui melipatgandakan usaha memperbaiki taranum dan tajwid dalam pertandingan kali ini.

Adibul, yang berada dalam senarai lima terbaik pada 2008, 2012, 2014 dan 2015 adalah peserta paling kerap menyertai tilawah antarabangsa sebanyak lapan kali, berkata akan menggunakan pengalaman ditimba bagi mengalunkan bacaan terbaiknya.

"Kerajaan turut menyediakan latihan bersama qari Mesir selain, latihan dengan adiguru, Datuk Paduka Yusof Bakar.

"Pengalaman menyertai tilawah antarabangsa adalah ketika usia 19 tahun, mula belajar didikan al-Quran daripada bapa merangkap guru agama, Pengiran Marjuki Abd Rahman seawal sembilan tahun.

"Sejak itu, saya tidak pernah menoleh ke belakang dalam memperdengarkan bacaan kitab suci," katanya.

Sementara itu, seramai lapan peserta mendengarkan bacaan tilawah malam tadi, iaitu Fathullah Wahyudin Kurnain (Indonesia), Atiqah Suhaimi (Singapura), Wattana Arbeedin (Thailand), Ly Oemmy (Kemboja), Faisal bin Ali bin khalfan Al Adawi (Oman), Hamdan Abdessamad (Maghribi), Sevda Yartasi Pehlivan (Turki) dan Raed Monzer Ishak Abushaban (Palestin).

Selain itu, peserta hafazan yang berlangsung pada sebelah pagi adalah Sara, Umar Yusof JazaFahad (Kuwait), Ammar Abdullah A Sakini (Qatar), Sanifo Ali dan Ouedraogo Alimata (Burkina Faso) dan Ibrahim Kaur (Guinea).

Yang turut memperdengarkan hafazan adalah Alfawazan Abdul Rahman (Arab Saudi), Aishatu Musa Gale (Nigeria), Mohammad Salem Abdallah (Jordan) dan Herkat Ahmed (Algeria).

69 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »