Rabu, 17 Mei 2017 | 5:50pm

Aizat, Faizal nyanyi lagu kempen Ramadan Raya


AIZAT Amdan dan Faizal Tahir. - Foto Nurul Shafina Jemenon

KUALA LUMPUR: Penyanyi yang juga komposer terkenal, Aizat Amdan dan Faizal Tahir, dipilih untuk menyanyikan lagu tema Kempen Ramadan Raya TV3 dan TV9 2017 berjudul 'Terima Kasih'.

Lagu ciptaan Aizat itu dihasilkan berdasarkan melodi asal single terkini beliau yang baru dilancarkan beberapa bulan lalu berjudul Jangan Menangis.

"Kami mengambil masa dua minggu untuk mengubah semula susunan muzik dan menulis kembali liriknya untuk disesuaikan dengan tema kempen Ramadan Raya TV3 & TV9, iaitu Terima Kasih.

"Lagu ini mengajak kita untuk sentiasa berterima kasih dan bersyukur.

"Pengalaman sendiri dan situasi sekeliling menjadi inspirasi buat saya dalam penghasilan lagu ini," kata Aizat ketika ditemui pada sesi temubual sempena majlis memperkenalkan duta dan pelancaran Kempen Ramadan Raya TV3 & TV9 2017 di sebuah hotel di sini, hari ini.

Aizat berkata, lagu itu turut memberi kesan peribadi ke atas dirinya.

"Mendengar lagu ini seakan menggamit kenangan di kampung. Dulu saya rajin juga balik ke kampung di Raub, Pahang tetapi selepas datuk dan nenek meninggal, rumah mereka bagaikan terbiar.

"Sebelum ini, bapa saudara saya yang menjaga rumah itu tapi kini dia pun kurang sihat. Jadi, tanggungjawab itu kini bagaikan terletak di bahu saya," katanya.

Selain Aizat dan Faizal, selebriti lain yang turut dipilih sebagai duta bagi kempen Ramadan dan raya dua stesen televisyen milik Media Prima Berhad itu tahun ini ialah Ayda Jebat, Mira Filzah, Elfira Loy, Redza Rosli dan pemain bola sepak terkenal, Zaquan Adha.

50 dibaca
Berita Harian X