Sabtu, 13 Mei 2017 | 9:30pm

Fasa kedua perjanjian kerjasama ECRL dimeterai


DATUK Seri Najib Razak hari ini menyaksikan majlis menandatangani perjanjian persefahaman antara dua syarikat China, masing-masing bagi melaksanakan fasa kedua bagi projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan projek saluran paip gas dan minyak dari Sg. Udang, Melaka ke Pengerang di Johor. China Communication Construction Company dan China Petroleum Pipeline Engineering Co. Ltd., masing-masing menandatangani perjanjian persefahaman dengan Malaysia Railway Link Sdn Bhd dan Suria Strategic Energy Resources. Dua Syarikat Malaysia diwakili Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Irwan Serigar (duduk, dua kiri). - Foto BERNAMA

BEIJING: Datuk Seri Najib Razak hari ini, menyaksikan pemeteraian perjanjian kerjasama Malaysia-China membabitkan fasa kedua projek Laluan Keretapi Pantai Timur (ECRL) serta pembinaan saluran paip petroleum.

Kos bagi kedua-dua projek itu berjumlah RM11.75 bilion. Perjanjian pertama ialah di antara Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) dengan China Communication Construction ConLtd (CCCC), manakala yang kedua, membabitkan Suria Strategic Energy Resources Sdn Bhd (SSER) dengan China Petroleum Pipeline Engineering Co Ltd (CPP).  

MRL dan SSER adalah dua anak syarikat milik penuh Kementerian Kewangan. Perjanjian antara MRL dan CCCC adalah untuk melengkapkan jajaran pertama projek ECRL dari Wakaf Bharu, Kelantan ke Pelabuhan Klang, Selangor.

Ia adalah untuk fasa kedua projek berkenaan iaitu jajaran dari Gombak ke Pelabuhan Klang, di Selangor sejauh 88 kilometer (km).

Perjanjian di antara SSER dan CPP pula adalah bagi pembinaan saluran paip petroleum pelbagai produk yang dianggarkan sepanjang 370 km daripada loji penapisan Petronas di Pengerang, Johor dan berakhir di Melaka.

Pembinaannya dijangka dapat memenuhi keperluan pasaran produk petroleum di utara Semenanjung dan barat Malaysia berdasarkan permintaan jangka masa panjang 30 tahun.

Projek itu dijangka disiapkan dalam masa dua hingga tiga tahun. Pada majlis yang berlangsung di China World Hotel, MRL diwakili Pengerusinya, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Darwis Abdul Razak, manakala CCCC di wakili Naib Presidennya, Sun Ziyu.

Mohd Irwan yang juga Ketua Setiausaha Perbendaharaan pada sidang media selepas majlis itu berkata, fasa dua projek ECRL itu akan menyediakan akses penting ke Pelabuhan Klang.

"Perjanjian ini menyaksikan ECRL menekankan kepentingan infrastruktur untuk Malaysia dan rakyatnya.

"Apabila siap, penduduk di Pantai Timur akan dihubungkan dengan wilayah tengah dan Pantai Barat dengan perhentian penting seperti hab perindustrian, lapangan terbang dan zon pelancongan di sepanjang laluan.

"Perjanjian ini adalah gambaran komitmen antara kedua-dua pihak bagi memastikan kejayaan dalam menyiapkan projek berkenaan," katanya.

Mohd Irwan berkata, bagi kedua-dua perjanjian itu, kontraktor dari China iaitu CCCC dan CPP dikenakan syarat untuk memaksimumkan penggunaan kontraktor dan barangan serta perkhidmatan tempatan.

"Perdana Menteri juga menekankan mengenai keutamaan pengambilan pekerja tempatan dalam semua peringkat jawatan," katanya.

623 dibaca
Berita Harian X