Isnin, 8 Mei 2017 | 7:00am

Panamera penanda aras baharu Porsche


KEUPAYAAN diperbaharui untuk kekal sebagai ikon berprestasi tinggi.

SIME Darby Auto Performance (SDAP) memperkenalkan kereta sport berprestasi tinggi, Porsche Panamera baharu bagi memenuhi permintaan jentera mewah di Malaysia.

Panamera generasi kedua tampil sebagai ikon berprestasi dalam kelas mewah dengan empat pintu.

Menerusi dua varian, iaitu Panamera dan Panamera 4S, ia masing-masing dijual pada harga bermula RM890,000 dan RM1.1 juta termasuk duti tanpa pendaftaran, cukai jalan dan insurans.

Kedua-dua varian didatangkan jaminan empat tahun dan pakej penyelenggaraan termasuk servis, komponen dan buruh.

Ketua Pegawai Eksekutif SDAP, Arnt Bayer, berkata Panamera adalah model terbaik dalam barisan keluarga Porsche, sekali gus menetapkan penanda aras baharu dari segi fungsi dan rekaan.


PORSCHE Panamera baharu bagi memenuhi permintaan jentera mewah di Malaysia.


RUANG dalaman yang mewah dan moden.

"Porsche sentiasa membuktikan keupayaan bukan hanya dari segi kuasa malah ia bersamaan dengan kecekapan, hasil daripada rekaan semula enjinnya untuk memberikan kuasa terbaik, cekap bahan api dan mengurangkan emisi," katanya ketika melancarkan Porsche Panamera baharu di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Direka berasaskan model 911 ia didatangkan dengan sistem pemanduan semua roda dan transmisi dwi-klac lapan kelajuan (PDK).

Bagi Panamera 4S, model kereta sport berprestasi tinggi itu menggunakan enjin 2.9 liter V6 turbo berkembar yang mampu menghamburkan kuasa maksimum 440 kuasa kuda (hp) pada 5,650 rpm lebih 20hp berbanding model terdahulu.

Dengan enjin enam silinder, Panamera 4S juga memberi kuasa tork 550Nm pada 1,750 hingga 5,500 rpm dan kelajuan puncak 289 kilometer sejam (km/j) dan boleh mencecah hampir 300 km/j serta 0 hingga 100 kilometer dalam masa 4.4 saat.

Bagi Panamera pula, dengan enjin V6 suntikan bahan api terus, ia menjana 330hp antara 5,400 dan 6,400 rpm. Kedua-dua tampil dengan rekaan bahagian badan tepi, termasuk bonet dengan komponen aluminium sepenuhnya.


PANAMERA adalah model terbaik dalam barisan keluarga Porsche.


PANEL elektronik Porsche Panamera 4S.

Info:
Porsche Panamera

  • Varian Panamera RM890,000 dan Panamera 4S RM1.1 juta.
  • Harga termasuk duti tanpa pendaftaran, cukai jalan dan insurans.
  • Jaminan empat tahun dan pakej penyelenggaraan termasuk servis, komponen dan buruh.
66 dibaca
Berita Harian X