Sabtu, 6 Mei 2017 | 7:00am

Langsing dan bertenaga


POSISI tunggangan yang selesa untuk perjalanan jarak jauh.

MENUNGGANG motosikal lasak adalah kenangan indah buat penulis ketika belajar di universiti dulu, kerana itulah jentera kegemaran untuk membawa diri dari Pulau Pinang hingga ke sempadan Thailand.

Namun, kos penyelenggaraan yang tinggi, bagi menampung jentera enduro usang 125cc ketika itu membuatkan ia tidak mampu terus disara penulis sebagai pelajar, yang kemudian beralih kepada kapcai empat lejang.

Bagaimanapun, pengalaman bersama jentera terbabit sentiasa terpahat dalam ingatan dan kembali membuak apabila diminta mengambil alih tugasan rakan sepejabat menunggang uji jentera terbaharu Kawasaki iaitu Versys-X 250.

Model terbaharu ini memang jauh lebih selesa berbanding enduro pernah dimiliki penulis dulu, kerana ia adalah model kembara dwi-kegunaan, sesuai ditunggang di jalan raya atau beraksi pada laluan tidak berturap termasuk jalan kebun.

Versys-X 250 juga adalah model Kawasaki dengan enjin paling kecil dalam kelas kembara dwi-kegunaan, selepas menawan pasaran tempatan dengan model menggunakan kependekan nama daripada perkataan verstail dan sistem itu dengan enjin berkuasa 650cc dan 1,000cc.


KAWASAKI Versys-X 250.

Walaupun sebenarnya hanya dilengkapi enjin dengan sesaran 249cc, namun badannya yang ditutupi pelindung dengan pelana yang lebar, menampakkan ia umpama model 500cc dalam pasaran.

Ketika menguji jentera ini sejauh 100 kilometer di pinggir ibu kota serta laluan tidak berturap dalam kebun sawit dekat Sungai Buaya, nyata ia adalah pilihan tepat untuk mereka yang mahukan jentera diyakini dari segi kualiti untuk mendepani semua situasi.

Tubuhnya yang langsing memudahkan penunggang mencelah dalam kesesakan jalan raya dan masa sama tidak terasa bahang enjin yang disalurkan kipas di belakang radiator ke bahagian bawah menerusi ruang di sebalik pelindung badannya.

Enjinnya yang kecil bukan bermakna tidak mampu diperah laju, kerana penulis mampu memecut hingga 150 kilometer sejam di lebuh raya dengan pendikit masih ada ruang untuk diperah, asalkan penunggangnya punya keberanian dan keyakinan mengawal situasi.

Namun, elemen kelajuan bukan tujuan utama model kembara dwi-kegunaan ini, sebaliknya yang lebih penting adalah kemampuannya menempuh perjalanan serta memberi keselesaan sepanjang tunggangan.

Penulis adalah di antara penunggang yang berpegang kepada prinsip, menunggang motosikal bukan untuk kelajuan semata-mata, sebaliknya lebih kepada keseronokan perjalanan dan pengalaman yang dilalui.


LALUAN tidak berturap dan kawasan ladang bukan halangan kepada Versys-X 250.


REKA bentuk langsing membolehkan Versys-X 250 mencelah di jalan raya.

Tunggangan di laluan seperti ladang sawit memang menyeronokkan, asalkan penunggangnya bijak melembutkan tubuh badan ketika mengendalikan jentera ini menempuh kesukaran sambil berdiri.

Mungkin tindak balasnya tidak setangkas jentera enduro seperti KLX250, tetapi rasanya sudah cukup bagi menemankan penunggang tempatan yang mempunyai keyakinan menawan laluan darat sekitar negara ASEAN. Apatah lagi tangki berkapasiti 17 liter milik Versys-X mampu membawa perjalanan sehingga lebih 400 kilometer.

Yang membezakan Versys-X dari Malaysia dengan model sama di negara lain, adalah pemasangan topang tengah yang dipasang oleh Kawasaki Malaysia sebagai aksesori standard tanpa sebarang kos tambahan.

Pada harga jualan rasmi RM23,789.00 termasuk Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), Versys-X 250 yang didatangkan dalam warna hijau, dijangka berada di bilik pameran Kawasaki pada bila-bila masa mulai sekarang.


VERSYS-X 250 sesuai ditunggang di jalan raya atau beraksi pada laluan tidak berturap.

INFO: Versys-X 250

Harga - RM23,789 termasuk GST

ENJIN

Jenis - Sejukan cecair, 4 lejang, Berkembar selari

Sesaran - 249cc

Sistem Injap - DOHC, 8 injap

Sistem Bahan Api - Suntikan Bahan Api

Sistem Pencucuh - Digital

Penghidup - Elektrik

Prestasi - Kuasa Maksimum 24.7kw)

- Tork Maksimum 21.7N.m

SISTEM PENGHANTARAN

Penghantaran - 6 Kelajuan

Pacuan akhir - Rantai

Klac - Cakera berbilang basah, manual

KERANGKA

Jenis - Tulang belakang, keluli tegangan-tinggi

Jarak perjalanan roda:

Depan - 130mm

Belakang - 148mm

Tayar:

Depan 100/90-19M/C 57S

Belakang 130/80-17M/C 65S

Jejak - 108 mm

97 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »