Jumaat, 5 Mei 2017 | 7:12am
MARCUS Rashford meraikan jaringan gol dengan rakan sepasukan.- Foto Reuters

Rashford bantu United hampiri final

VIGO (Sepanyol): Sepakan percuma menarik daripada Marcus Rashford pada 23 minit terakhir perlawanan menyaksikan Manchester United hanya tinggal selangkah lagi ke final Liga Europa.

Gol ke-11 Rashford musim ini membantu United menang 1-0 ke atas Celta Vigo, awal pagi tadi, sekali gus meningkatkan peluang United untuk menjuarai Liga Europa buat kali pertama serta menjamin tempat ke Liga Juara-Juara, musim depan.

Ketangkasan penjaga gol Celta, Sergio Alvarez membantu kelab dari Sepanyol itu terikat tanpa jaringan sebelum rehat separuh masa selepas menyelamatkan beberapa percubaan daripada Rashford, Henrikh Mkhitaryan dan Jese Lingard.

Namun, jangkaannya terhadap sepakan percuma Rashford tersasar, sekali gus meletakkan United berada di landasan selesa untuk ke pentas final di Stockholm, 24 Mei ini.

Pengurus United, Jose Mourinho, memuji pemain mudanya itu, yang memainkan peranan penting tatkala The Red Devils `hilang' kelibat penjaring terbanyak, Zlatan Ibrahimovic, yang mengalami kecederaan ligamen.

"Dia pemain yang baharu 19 tahun dan amat menggemari bola sepak. Dia berusaha, matang dan apa yang penting bukan usianya tetapi kualiti dimilikinya," kata Mourinho. - AFP

Berita Harian X