Ahad, 25 Jun 2017 - 1:20AM
Waktu Solat Kuala Lumpur:

MINI Countryman lebih panjang, lebar

Oleh Suffian A Bakar



KONTUR pada permukaan hasil biasan cahaya serlah rekaan generasi kedua. - Foto Hafiz Sohaimi

MINI Malaysia baru-baru ini melancarkan MINI Countryman generasi kedua serba baharu di pasaran Malaysia.

Kenderaan Aktiviti Sukan (SAV) premium itu didatangkan dalam dua varian, MINI Cooper Countryman dan MINI Cooper S Countryman.

Ia hadir bersama jaminan perbatuan tanpa had MINI selama empat tahun dan servis berjadual percuma.

Anggaran harga di atas jalan untuk pendaftaran peribadi, tidak termasuk insurans ialah RM239,888 bagi varian MINI Cooper Countryman dan RM269,888 bagi MINI Cooper S Countryman.

Buat pertama kalinya, MINI Countryman serba baharu itu turut diperkenalkan dalam dua warna baharu, iaitu coklat (Chestnut) dan biru (Island Blue).

Warna lain yang ditawarkan ialah hijau (British Racing Green); merah (Chili Red); putih (Light White); perak (Melting Silver); hitam (Midnight Black); dan kelabu (Moonwalk Grey).


- Foto Hafiz Sohaimi

Warna kelabu Thunder Grey pula ekslusif untuk MINI Cooper S Countryman.

MINI Countryman serba baharu ini menampilkan elemen rekaan yang tipikal dengan jenama NINI, ini termasuk tiga struktur utama pada bahagian sisi yang ikonik, iaitu bumbung, bahagian kaca dan badan.

Kontur pada permukaan MINI Countryman menghasilkan biasan cahaya dan bayang yang menyerlahkan rekaan atletik dan orientasi vertikal tubuhnya.

Saiz MINI Countryman juga bertambah, tetapi masih mampu mengekalkan perkadaran tipikal sebuah MINI. Ia kini 20 sentimeter lebih panjang dan tiga sentimeter lebih lebar berbanding model terdahulu.

MINI Countryman serba baharu ini memiliki panjang 4,299 milimeter (mm), lebar 1,822mm dan tinggi 1,557mm.

Perkadarannya pula tersendiri, dengan jarak roda hadapan dan belakang 2,670mm, manakala lebar antara roda 1,585mm di hadapan dan 1,587mm di belakang.


MINI Countryman generasi kedua serba baharu. - Foto Hafiz Sohaimi


DIDATANGKAN dalam dua varian, MINI Cooper Countryman dan MINI Cooper S Countryman. - Foto Hafiz Sohaimi

Perkadaran ini membolehkan ia memiliki karakter yang lebih versatil, lincah dan premium dengan penampilannya yang tersendiri.

Bukan setakat itu saja, buat pertama kalinya ia dilengkapi lampu utama LED dengan lampu membelok, satu penambahan yang membolehkan anda meneroka malam dengan lebih selamat.

Lampu membelok mengarahkan cahaya mengikut arah stering, manakala Icon Lights baharu akan menyala dalam keadaan malap, sungguhpun ketika lampu utama dihidupkan.

Dari aspek pilihan rim, MINI Countryman serba baharu ini di pasang dengan rim aloi ringan MINI Yours bersaiz 19 inci.

Enjin ditala bagi memberikan tahap kelincahan dan pecutan mantap, sinonim jenama MINI.

Juga buat pertama kalinya, ia dikuasakan enjin tiga dan empat silinder TwinPower generasi terkini Kumpulan BMW.

Ini menjadikan MINI Countryman lebih laju, garang dan menjimatkan bahan api berbanding model terdahulu.

Fungsi Steptronic pula membolehkan pemandu memilih antara kemudahan kotak gear automatik atau keseronokan menukar gear secara manual.


- Foto Hafiz Sohaimi

INFO:
MINI Cooper S Countryman

Enjin: Empat silinder bersesaran 2.0 liter

Kuasa kuda: 192hp

Tork : Maksimum 280Nm.

Pecutan 0-100km/j : 7.4 saat

Kelajuan maksimum : 224km/j.

Penjimatan bahan api : 6.5 liter/100km.

Transmisi: Steptronic 8-kelajuan

MINI Cooper Countryman

Enjin: Tiga silinder bersesaran 1.5 liter

Kuasa kuda: 136hp

Tork : Maksimum 220Nm.

Pecutan 0-100km/j : 9.6 saat

Kelajuan maksimum : 200km/j.

Penjimatan bahan api : 6.0 liter/100km.

Transmisi: Steptronic 6-kelajuan

- Foto Hafiz Sohaimi

Trending

    Disyorkan